Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR –  Seorang Ahli Parlimen pembangkang mahu Kementerian Pertahanan menjawab lebih terperinci mengenai tujuh justifikasi mengapa kerajaan tidak perlu meneruskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Datuk Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata, ia kerana surat beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Parlimen kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

“Yang Berhormat Menteri Pertahanan menghantar surat kepada saya tentang kenyataan kami tetapi maaf surat itu tidak menjawab apa-apa pun.

“Semalam (Ahli Parlimen) Igan bangun menyoal, dia skeptikal PLKN 3.0. Menteri menjawab tetapi maaf kita bukan bodoh mendengar jawapan sedemikian. Soalannya mudah sahaja, kami memberi tujuh justifikasi mengapa ia (PLKN 3.0) tidak harus diteruskan.

“Adalah didapati PLKN 1.0 dan 2.0, dan 3.0 juga melibatkan kos pelaksanaan yang amat tinggi berbanding kesan positif yang tidak seberapa sedangkan kesan positif yang sama itu boleh didapatkan melalui program-program atau institusi-institusi pendidikan yang sedia ada dan sebagainya.

“Pra PLKN tiga hari dua malam, asas 45 hari, lanjutan belum ditentukan berapa hari?

“Kita boleh yakin ke jumlah masa itu yang disebut Menteri Pertahanan dalam jawapan dalam Dewan Rakyat ini semalam sebagai lanjutan kepada apa-apa yang dianggap asas di sekolah selama berapa tahun? Enam campur lima, 11 tahun dan tidak logik,” katanya ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Mohamed Khaled memberitahu, kos pelaksanaan PLKN 3.0 lebih rendah berbanding dua siri program berkenaan sebelum ini dengan anggaran kos bagi seorang pelatih sebanyak RM2,000.

Beliau berkata, pelaksanaan PLKN 1.0 melibatkan kos tahunan RM565 juta dengan 71,300 peserta, manakala PLKN 2.0 berjumlah RM361 juta melibatkan 20,000 peserta.

“Bagi PLKN 3.0, kos tahunannya RM200 juta tetapi melibatkan peserta melebihi 100,000 orang kerana ia bukan sahaja dibuat di kem wataniah melalui Angkatan Tentera Malaysia tetapi ia juga dilaksanakan di universiti dan politeknik.,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Pada Disember lalu, JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Parlimen mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Dalam pada itu, Saifuddin ketika itu berkata, sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk melaksanakannya maka JKPP berpendapat satu kajian yang lebih mendalam dan terperinci perlu dibuat terlebih dahulu.

Pendirian JKPK ini dibuat berdasarkan justifikasi-justifikasi di mana pelaksanaan PLKN 3.0 tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas berikut masalah berlanjutan (legasi) akibat objektif dan sasaran PLKN 1.0 yang tidak jelas, ujarnya.

JKPK dianggotai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Maran), Chong Chieng Jen (Stampin) dan V. Sivakumar (Batu Gajah).

Ahli lain adalah Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Ahmad Johnie Zawawi (Igan) dan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here