KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan bekalan vaksin untuk influenza mencukupi.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata ini kerana segelintir klinik swasta didakwa menaikkan harga vaksin sewenangnya susulan permintaan tinggi pada waktu ini.
Malah menurutnya, ada klinik yang menaikkan harga vaksin influenza sehingga RM150 bagi setiap dos.
Katanya sebelum ini harga vaksin berkenaan hanya berharga sekitar puluhan ringgit sahaja.
“Menurut laporan media tempatan, jumlah pesakit influenza telah meningkat dua kali ganda semasa Tahun Baru Cina.
“Ramai rakyat berpusu-pusu mendapatkan suntikan vaksin influenza,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu katanya, KKM perlu mengambil tindakan dan persediaan yang proaktif bagi berdepan dengan penularan influenza.
“Pada waktu ini, tindakan segera perlu diambil untuk menilai tahap bekalan vaksin di dalam negara serta memberi penerangan yang secukupnya kepada rakyat mengenai situasi sebenar influenza bagi mengelakkan panik akibat kekurangan vaksin,” ujarnya. -MalaysiaGazette