JDT menang 4-0 ke atas PDRM FC dalam aksi  Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi

ISKANDAR PUTERI – Kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 ke atas PDRM FC malam tadi menjadi pembakar semangat mengharungi dua aksi  Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada pertengahan bulan ini.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio tidak menafikan bahawa kemenangan dalam aksi Liga Super itu amat bermakna bagi anak buahnya dalam perlawanan akan datang.

Katanya, dua aksi yang dimulai dengan berdepan kelab Liga Australia (A-League), Central Coast Mariners di Stadium Industree Group, Selasa depan sebelum menanti kunjungan kelab Liga Korea, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, pada 18 Februari.

“Kedua-dua perlawanan ini sangat penting bagi kami dan oleh sebab itulah kami perlu memastikan kesemua pemain kami berada kondisi dan tahap prestasi terbaik.

“Kami juga telah melakukan penggiliran pemain dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan berpasukan.

“Malah, kami turut membawa masuk tiga pemain baharu iaitu pemain pertahanan, Alvaro Gonzalez,  Roque Mesa (tengah) dan Jonathan Viera (penyerang) bagi memperkuatkan pasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan itu malam tadi.

Pada aksi Liga Super itu, gol-gol skuad Harimau Selatan itu dijaringkan oleh penyerang import, Jorge Obregon pada minit ke-13, Corbin-Ong (minit-39), Jese Rodriguez (minit-54) dan Romel Morales (minit-81).

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan JDT terus gah di puncak Liga Super dengan 55 mata hasil 18 kemenangan dan seri sekali setelah mengharungi 19 perlawanan.

Secara matematiknya, skuad juara ‘double quadruple; (empat piala semusim) musim lalu itu hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi menjulang trofi Liga Super buat kali ke-11, berturut-turut.

Sementara itu, Bidoglio berkata, beraksi sebagai satu pasukan dilihat menjadi kunci utama kepada kemenangan 4-0 JDT ketika berdepan PDRM FC malam tadi.

Bagaimanapun katanya, adakalanya pemain terpaksa berdepan sedikit kesukaran dengan aksi melawan yang dipamerkan The Cops di sepanjang perlawanan.

“Secara keseluruhannya saya gembira dengan kemenangan ini terutamanya apabila menyaksikan pemain-pemain beraksi sebagai satu pasukan.

“Biarpun berdepan sedikit kesukaran, namun pemain-pemain dilihat masih mampu melepasi kekangan pihak lawan, mencipta peluang dan seterusnya menjaringkan gol,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast