KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan gadis litar yang bertugas semasa MotoGP merupakan petugas promosi bagi atau sebagai duta jenama syarikat-syarikat yang terlibat semasa kejohanan itu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia ditentukan oleh penganjur kejohanan iaitu Dorna Sports S.L termasuklah aktiviti pemasaran, penyiaran dan promosi pasukan.
Peranan Sepang International Circuit (SIC) pula kata beliau adalah sebagai penyedia fasiliti dan kemudahan yang terdapat di litar.
“Bagaimanapun, KBS melalui SIC dari semasa ke semasa mengadakan libat urus dengan penganjur untuk menambahbaik kualiti dan perincian kandungan sewaktu kejohanan ini dianjurkan di negara ini dan pada masa sama mengambil kira sensitiviti budaya dan agama negara.
“KBS mengambil maklum maklumbalas dan sensitiviti mengenai budaya dan agama di dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia adalah perkara yang sangat penting,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan perancangan kementerian untuk menghentikan tradisi memperaga wanita seksi dalam sebarang acara sukan permotoran yang dianjurkan oleh kementerian atau syarikat berkaitan kerajaan.
Mengulas lanjut, Hannah memberitahu, kejohanan MotoGP ini dianjurkan oleh Dorna Sports S.L yang berpangkalan di Sepanyol sejak 75 tahun lepas.
Menurut beliau, pada tahun 2024, kejohanan MotoGP telah dianjurkan di 21 litar seluruh dunia.
“Kejohanan ini terus menarik minat penonton tempatan dan luar negara dan pada tahun 2024 di mana sebanyak 184,923 penonton membanjiri SIC sewaktu kejohanan ini dan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 18,000 pelancong asing.
“Mengikut kajian impak ekonomi yang telah dilakukan oleh SIC, pada tahun 2022 penganjuran acara ini memberi impak positif lebih RM150 juta kepada unjuran ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette