KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil beberapa langkah tegas bagi mengekang impak kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) kepada pemegang polisi selepas menyedari akan beban kewangan yang dihadapi oleh rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia melibatkan pengagihan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun di mana langkah ini akan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2026.
Menurut beliau, purata jumlah keuntungan tahunan industri insurans dan takaful antara tahun 2018 hingga 2023 adalah RM4.4 bilion daripada syarikat insurans hayat dan pengendali takaful keluarga (ITO).
“Selain itu, penangguhan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan selama satu tahun bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli.
“Pemegang polisi yang telah menyerahkan polisi atau polisi mereka telah luput pada tahun 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium boleh menghubungi ITO masing-masing untuk memohon polisi mereka diaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan,” katanya pada sesi pemberitahuan pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Menteri Kewangan
menyatakan jumlah keuntungan syarikat insurans nyawa setiap tahun sejak 2018 dan penyelesaian ke atas kontroversi kenaikan premium insurans perubatan setinggi 70 peratus dan apakah langkah untuk menghindarkan kos perubatan swasta daripada naik dengan sewenang-wenangnya.
Amir Hamzah turut memberitahu purata jumlah keuntungan tahunan industri insurans dan takaful antara tahun 2018 hingga 2023 adalah RM4.4 bilion daripada ITO.
Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi langkah interim yang diambil, 80 pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan kurang daripada 10 peratus yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan.
Kata beliau, ini akan memberi sokongan sementara kepada pemegang polisi dan keuntungan daripada portfolio insurans lain secara amnya tidak wajar digunakan untuk menyerap kerugian dalam portfolio MHIT kerana ini tidak adil kepada pemegang polisi yang tidak membeli MHIT.
“Sebagai contoh, pemegang polisi yang hanya membeli perlindungan hayat juga perlu membayar premium yang tinggi untuk menampung tuntutan produk MHIT meskipun produk perlindungan hayat tidak dipengaruhi oleh inflasi kos perubatan.
“Perlu ditekankan langkah interim ini hanya dapat memberi sokongan sementara kepada pemegang polisi. Namun demikian, isu pokok permasalahan ini masih terletak pada peningkatan inflasi kos perubatan,” katanya.
Amir Hamzah memberitahu, peningkatan berterusan inflasi kos perubatan adalah punca utama yang menyebabkan kadar tuntutan MHIT yang semakin meningkat.
Kata beliau, ini kerana apabila tuntutan MHIT melebihi premium secara berterusan, dana premium yang terkumpul tidak akan mencukupi untuk membayar tuntutan oleh pemegang polisi.
Ujarnya, keadaan ini akan menyebabkan ITO tidak lagi akan menawarkan produk yang
menanggung kerugian secara berterusan dan seterusnya akan menjejaskan pilihan yang ada kepada pengguna.
“Sekiranya ini berlaku, pengguna tidak lagi dapat mengakses produk MHIT dan perlu menanggung perbelanjaan kesihatan menggunakan sumber kewangan sendiri. Oleh itu, keupayaan ITO untuk terus memenuhi tuntutan yang dibuat adalah penting.
“Oleh yang demikian, Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh untuk menangani isu inflasi kos perubatan dan caj-caj di hospital swasta. Usaha ini termasuk melaksanakan model pembayaran DiagnosticRelated Group (DRG) dan meningkatkan ketelusan kos ubat-ubatan serta perbandingan kos perubatan lazim. Langkah-langkah lain yang boleh diambil oleh hospital swasta untuk membendung inflasi kos perubatan juga sedang dibincangkan sebagai penyelesaian jangka panjang. – MalaysiaGazette