SHAH ALAM – Pelakon, Hafidz Roshdi memfailkan tuntutan hak penjagaan sementara dan penuh terhadap dua anaknya di Mahkamah Syariah hari ini.
Tuntutan dibuat selepas bekas isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri sehingga kini gagal memberi kerjasama hadir di mahkamah.
Malah katanya, sudah lebih setahun Hafidz tidak dapat berjumpa dengan kedua-dua anaknya iaitu Humairah dan Umar.
“Saya harap dengan ini saya dapat jumpa anak-anak saya untuk pengetahuan saya sudah lama tidak jumpa mereka, saya tidak tahu keadaan mereka sekarang ini.
“Kali terakhir (saya) hubungi mereka bulan 10 tahun lepas,” katanya ketika ditemui di lobi mahkamah.
Bahkan, Hafidz mengaku terkejut apabila mendapat tahu kedua-dua anaknya dibawa oleh ibunya ke luar negara tanpa izinnya.
“Perkembangan terbaharu saya dapat tahu anak-anak saya dibawa ibunya ke Australia tanpa pengetahuan dan izin saya.
“Kepada Umar dan Humairah, abah rindu sangat kamu (berdua). Abah sayang dan harap kita dapat jumpa satu hari nanti Insyallah. Pasal nafkah jangan risau abah akan uruskan itu memang tanggungjawab abah,” tambahnya.
Sementara itu, peguam mewakili pelakon itu Puteri Umi Kartini Abd Latiff memaklumkan ini merupakan kali ketiga bekas isteri pelakon itu tidak hadir ke mahkamah.
Enggan melengahkan masa sehubungan itu katanya, pihaknya memohon supaya mahkamah mengeluarkan notis amaran kepada Shuhada.
“Sepatutnya (perkara ini) sudah selesai tapi sebab ketidakhadiran defenden. Setakat ini belum ada apa-apa perintah mahkamah berkaitan hak penjagaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut peguam berkenaan berkata, Nurul Shuhada boleh hilang kelayakan hak penjagaan kerana membawa anak-anaknya ke luar negara.
“Bila dia ke luar negara dia boleh hilang hak kelayakan, ada lima faktor iaitu murtad, kecuaian, kahwin semula, tidak waras dan kelima adalah menukar permastautinan.
“Kalau balik Perlis contohnya tidak mengapa itu kampungnya. Tapi Australia saya rasa dia bukan berasal dari sana kan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Shuhada dan Hafidz mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar berusia 4 tahun.
Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai pada 27 Julai 2023.
Hafidz kemudian kembali mendirikan rumah tangga dengan Athira
Yuhada pada 15 Disember 2023.-MalaysiaGazette