Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Institut Kemajuan Desa (INFRA) memperkenalkan kursus khas untuk usahawan dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) inap desa bagi menyokong Kepengerusian ASEAN 2025 serta sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan usahawan desa khususnya berdaya saing dengan standard antarabangsa dalam pengurusan inap desa.

Uaha tersebut sekaligus meningkatkan daya saing sektor pelancongan desa negara.

Menurutnya, INFRA akan berperanan sebagai Pusat Bertauliah TVET bagi program tersebut.

“Dalam masa yang sama, INFRA juga menjadi pusat rujukan utama dengan menawarkan kursus wajib sebagai prasyarat bagi pendaftaran homestay yang sah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk KKDW.

Mesyuarat berkenaan bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia, dengan memberi tumpuan kepada pelancongan berasaskan komuniti sejajar dengan persiapan menuju TMM 2026.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berhasrat melihat INFRA menjadi peneraju dalam menyediakan modul latihan berimpak tinggi dalam menawarkan kursus malah turut memastikan pembangunan modal insan desa berkualiti dan berdaya tahan yang memenuhi keperluan semasa.

Sebagai rekod, sehingga kini, INFRA telah melahirkan 295 graduan TVET Program Homestay (indap desa), manakala 10,094 peserta kursus telah berdaftar di bawah MOTAC sebagai pengusaha Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).

Katanya, tahun ini institut berkenaan telah merangka pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengusaha inap desa.

“Ia termasuk pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyeliaan dan Koordinasi Inap Desa Tahap 3, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Tahap 2, Kursus Pengenalan Homestay, Kursus Asas Homestay dan Kursus Lanjutan Homestay.

“Program-program ini menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta daripada kalangan usahawan desa yang ingin memperkukuh daya saing dalam industri pelancongan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here