LONDON – Bekas pertahanan Brazil dan Real Madrid, Marcelo akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada sukan bola sepak pada usia 36 tahun.
Dia mengumumkan persaraan itu selepas mengharungi karier cemerlang bersama Real bermula 2007.
Marcelo meninggalkan kelab Sepanyol itu pada 2022 dengan 25 trofi termasuk lima gelaran Liga Juara-Juara dan enam La Liga, dua Copa del Rey, lima Piala Super Sepanyol, empat Piala Dunia Kelab dan tiga Piala Super Eropah
Dia juga membuat 58 penampilan buat Brazil, menang Piala Konfederasi pada 2013 selain pingat perak pada Sukan Olimpik 2012 dan gangsa Sukan Olimpik Beijing 2008.
“Perjalanan saya sebagai pemain tamat di sini, tapi masih banyak yang saya boleh berikan kepada bola sepak. Terima kasih untuk semuanya,” katanya menerusi video di Instagram. – Agensi