KUANTAN – “Saya cuma mahu tempat tinggal yang selamat untuk saya dan isteri.”
Itu luahan Mohd Nor Effendy Abdul Wahab, 40 yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chengal Lempong, di sini hari ini.
Kini dia dan isterinya, Nurfarhana Sallehhodin, 33 yang juga seorang OKU menghidap Vaskulatis menetap di rumah pusaka tinggalan ibunya sejak lebih lima tahun lalu.
“Tapi, dalam dua tahun lepas, keadaan atap rumah ni semakin teruk sebab dimakan anai-anai dan bila-bila masa berisiko akan roboh.
“Paling teruk di kawasan dapur. Memang ada perancangan untuk membaiki atap dan siling, tapi disebabkan kekudanya sudah teruk dimakan anai-anai, jadi ia sangat susah untuk dibaiki,” katanya.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG_4039.png)
Menerusi tinjauan MalaysiaGazette, bukan sahaja di bahagain dapur malah keadaan bumbung di bahagian bilik dan ruang tamu rumah itu juga memerlukan pembaikan berikutan kebocoran yang teruk.
Effendy yang hanya menjual burger untuk menyara kehidupan ada memohon kepada ketua kampung untuk membina sebuah rumah di tanah pusaka bersebelahan rumah tersebut.
“Tak sangka pula permohonan saya tu sampai ke pihak Pejabat Perdana Menteri (PM). Kami berterima kasih sebab keprihatinan mereka menziarah baru-baru ini dan mengambil maklum permohonan untuk rumah baharu,” kata Effendy lagi.
Bercerita lanjut, Effendy berkata, dia diserang strok ketika menjual burger dalam kejadian pada tahun 2014. Pada waktu itu, dia juga sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat strok.
Bagaimanapun, dia tetap cekal dan melalui prosedur rawatan bertahun lamanya selain menjalani fisioterapi di Pusat Rehabilitasi Perkeso, di Durian Tunggal, Melaka bagi membolehkan dia bekerja semula demi kelangsungan hidup.
Di situlah dia bertemu isteri tersayang, Nurfarhana dan kini mereka bersama-sama mengusahakan gerai burger yang terletak tidak jauh daripada rumah pusaka tersebut.
“Nak mohon kerja lain, tak boleh. Tapi tulah, jual burger ni pendapatan kami tak menentu. Hanya terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 setiap seorang,” katanya lagi.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/IMG_4038.png)
Effendy juga cekal menyimpan duit untuk mengubahsuai motosikal dimilikinya supaya memudahkan mereka untuk berulang ke klinik untuk pemeriksaan.
“Tak mahu susahkan orang lain. Tak kan asyik meminta tolong untuk ke klinik, hospital. Setiap tiga bulan sekali saya ada temu janji,” jelasnya lagi.
Baru-baru ini Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi sempat mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi kediaman mereka di sini.
Bagi mereka yang mahu membantu pasangan ini, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan ke akaun Maybank milik Mohd Nor Effendy Abdul Wahab seperti berikut: (MBB : 156178033082) – MalaysiaGazette