Persatuan Ulama Malaysia

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menegaskan kenyataan Pemuda DAP yang membantah garis panduan baharu dalam mengawal penyertaan umat Islam dalam majlis di rumah ibadat bukan Islam adalah satu tindakan biadab dan tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Hakikatnya, garis panduan yang dicadangkan adalah langkah tepat bagi memastikan umat Islam memahami had dan batas mereka dalam menjaga akidah serta tidak terjerumus dalam perkara yang boleh menggugat keimanan.

Pengerusi Sekretariat Syubban (Pemuda) PUM, Dr Ainul Asyraf Lokman berkata, tidak ada keperluan untuk umat Islam menghadiri majlis keagamaan di tempat ibadat bukan Islam, apatah lagi jika ia membuka ruang kepada kekeliruan atau penyebaran dakyah halus.

Apatah lagi, jelasnya, setiap agama mempunyai batasan dan ajaran yang perlu dihormati.

“Kami tidak pernah meminta orang bukan Islam untuk terlibat dalam amalan agama kami, jadi hormatilah hak kami untuk menjaga akidah dan tradisi kami tanpa campur tangan dari pihak luar!,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ainul Asyraf menambah, gesaan Pemuda DAP ini hanyalah cubaan untuk menggugat prinsip umat Islam dan mencampuri urusan pentadbiran Islam di negara ini.

Hakikatnya, umat Islam berbeza dengan orang bukan Islam kerana memiliki akidah yang perlu dijaga.

“Ini bukan soal perkauman tetapi soal agama yang wajib dipelihara!

“Kami juga ingin mengingatkan bahawa DAP sudah berkali-kali masuk campur dalam hal ehwal umat Islam di Malaysia. Jaga sahaja agama kamu dan jangan sibuk mahu menentukan apa yang orang Islam patut buat atau tidak!

“Islam mempunyai ulama’ dan pihak berkuasa agama sendiri yang lebih layak menentukan garis panduan bagi umat ini,” tegas beliau lagi.

Beliau berkata, PUM menyokong penuh cadangan garis panduan yang dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, kerana ia selari dengan prinsip menjaga maslahah umat Islam.

Katanya, tiada seorang pun yang waras dan berpegang kepada Islam akan menolak usaha baik ini.

Justeru, PUM menggesa Pemuda DAP untuk tidak cepat melatah dan menghormati urusan pentadbiran Islam yang tidak ada kena-mengena dengan mereka.

“Hormatilah Perlembagaan Malaysia yang telah menetapkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, dan jangan cuba menanam bibit-bibit perpecahan dengan kenyataan yang hanya menimbulkan ketegangan antara kaum!,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here