SHAH ALAM – Sebanyak 2,076 individu termasuk 1,345 kanak-kanak yang terkait dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bersetuju menyertai program pemulihan kelolaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bermula 15 Feb ini.
Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata inisiatif dikenali Program Insan Rabbani yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu akan dilaksanakan dalam empat fasa selama dua tahun.
Beliau berkata program itu meliputi fasa pemulihan serta pengukuhan masing-masing berjalan selama enam bulan, diikuti pemantauan menerusi fasa pascapemulihan, pemantauan dan khidmat sokongan.
“Proses pemulihan akan menggunakan Modul Istitabah untuk peringkat umur dewasa dan Modul Pendidikan Islam Insani kepada kanak-kanak dengan pendaftaran boleh dibuat di Bahagian Pemulihan Al-Riqab MAIS. Ia akan dilaksanakan sama ada di dalam atau di luar pusat pemulihan berkenaan.
“Proses pemulihan di dalam pusat dilaksanakan di Pusat Perlindungan Terpilih manakala di luar akan dilaksanakan di masjid atau sekolah atau mana-mana lokasi yang sesuai,” katanya di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata setakat ini bilangan yang berdaftar dengan Bahagian Ar Riqab MAIS membabitkan lebih 1,300 kanak-kanak bawah 17 tahun selain lebih 700 individu dewasa.- BERNAMA