KUALA LUMPUR – Masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara Malaysia, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, soat hajat dan doa selamat selepas solat Maghrib esok turut akan diadakan di masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/02/MGF23082024_NAIM-MOKHTAR-1-1024x683.jpg)
“Umat Islam adalah diundang untuk bersama-sama ke masjid/surau berkenaan bagi mendoakan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar dikurniakan kesejahteraan, kesembuhan dan keafiatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan dengan diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat lalu memaklumkan, perkara itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.
“Seluruh rakyat diminta mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette