KUALA LUMPUR- Warga emas iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas akan menikmati vaksin influenza secara percuma bermula 18 Februari 2025.
Menurut Kementerian Kesihatan, program vaksin sukarela itu adalah langkah progresif yang bakal memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi.
Tambahnya, janji temu untuk mendapatkan vaksin boleh dbuat melalui aplikasi MySejahtera mulai 14 Februari ini (Jumaat).
Namun ia tertakluk kepada status agihan vaksin ke seluruh negara yang dibuat secara berfasa.
“Perluasan program imunisasi ini bertujuan untuk melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada mendapat komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KKM menegaskan, kekurangan stok vaksin influenza ketika ini hanyalah bersifat sementara.
Jelasnya, bekalan vaksin untuk jangka sederhana juga adalah mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada termasuk untuk jemaah haji dan umrah.
Di samping itu juga, Program Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran swasta tempatan pulih secepat mungkin.
“Kematian mengejut pelakon Taiwan, Barbie Hsu akibat pneumonia terkait influenza telah mengejutkan masyarakat Asia Timur, seterusnya meningkatkan permintaan orang ramai terhadap vaksin influenza.
“Trend ini telah menyebabkan kekurangan stok vaksin influenza dalam pasaran tempatan,” kata kenyataan itu lagi.
KKM turut menyarankan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan yang berisiko tinggi termasuk warga emas berumur 60 tahun ke atas dengan satu atau lebih penyakit kronik (diabetes, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia, atau penyakit buah pinggang kronik) untuk mengambil vaksin influenza setahun sekali.
Katanya di Malaysia, waktu terbaik untuk mengambil vaksin influenza adalah pada bulan April atau Oktober, selari dengan kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang musim sejuk di hemisfera selatan pada Mei hingga Julai, dan gelombang musim sejuk di hemisfera utara pada November hingga Januari.
Selain itu, KKM turut menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta jika mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan.-MalaysiaGazette