KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani akan terus memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia.
Selaras usaha itu, Kementerian Komunikasi telah memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, yang digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan memaklumkan, kempen tersebut akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat pelbagai lapisan usia serta latar belakang berkenaan pentingnya keselamatan Internet.
Katanya, Kempen Keselamatan Dalam Talian itu akan diperluas dalam kalangan komuniti bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian.
“Antara fokus utama kempen ini adalah kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial (penggunaan Internet perlu di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga).
“(Selain itu) meningkatkan kesedaran agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan kes jenayah pedofilia serta menggalakkan penggunaan Internet secara selamat dan beretika,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, kenyataan itu menambah, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang telah diwartakan pada 7 Februari lalu juga mula berkuat kuasa secara rasmi hari ini.
Katanya, pindaan itu akan menyediakan ekosistem rangkaian Internet yang lebih selamat dan lestari kepada pengguna, sekali gus memberikan perlindungan lebih baik terutama kepada kanak-kanak dan keluarga.
Menurutnya, jumlah kes jenayah dalam talian pada tahun lalu yang mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion membuktikan bahawa pindaan tersebut adalah tepat pada masanya.
“Kerajaan berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri serta keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette