Yayasan Kita Anak Malaysia menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada 400 pelajar kurang berkemampuan dalam daerah Barat Daya, Pulau Pinang semalam.

BALIK PULAU – Seramai 400 pelajar terdiri daripada keluarga yang memerlukan bantuan dalam daerah Barat Daya di sini menerima sumbangan bantuan persekolahan menerusi Program Kembali ke Sekolah yang dianjurkan oleh Yayasan Kita Anak Malaysia dengan kerjasama Yayasan Taqwa MAIWP dan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya.

Setiap seorang pelajar menerima kelengkapan peralatan sekolah bernilai RM175 menerusi program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh di sini, semalam.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kita Anak Malaysia, Puvaniten Helan Govan berkata, inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan ibu bapa pelajar, terutama di musim persekolahan.

“Keseluruhan bantuan yang disampaikan berjumlah RM70,000 melibatkan 32 buah sekolah dari daerah tersebut iaitu 20 sekolah rendah dan 12 sekolah menengah.

“Kita salurkan bantuan merangkumi baju sekolah, kasut, stokin, tali pinggang (pelajar lelaki), tudung (pelajar perempuan), alat tulis serta beg sekolah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakthiar Wan Chik dan Adun Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.

Tambah beliau, program itu juga  sebahagian daripada komitmen Yayasan Kita Anak Malaysia untuk memperluaskan usaha kebajikan dengan harapan dapat mengurangkan isu kemiskinan dan mencegah keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar.

Mengulas lanjut, Puvaniten berkata, pihaknya juga aktif menjalankan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan di seluruh negeri ini dengan tumpuan utama pada sektor pendidikan termasuk menyediakan bantuan bagi pengajaran dan pembelajaran.

“Selain bantuan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, Yayasan Kita Anak Malaysia turut menyediakan bantuan kepada pelajar IPTA dan IPTS, dengan tumpuan pada peralatan pembelajaran dan peluang pendidikan.

“Sehingga kini, lebih 100,000 penerima manfaat telah dibantu dan yayasan ini kini mempunyai lebih 3,000 sukarelawan di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here