SEOUL – Korea Utara turut menolak cadangan Presiden Donald Trump untuk “mengambil alih” Semenanjung Gaza dan memindahkan penduduk Palestin ke negara lain.
Tindakan itu, dakwa Pyongyang adalah perbuatan mengusir penduduk Gaza secara paksa.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) yang dikendalikan kerajaan dalam ulasan di laman sesawangnya berkata, kedaulatan negara tidak boleh tertakluk kepada rundingan dengan Washington.
“Pada ketika darah dan air mata masih ditumpahkan di Semenanjung Gaza dan kebimbangan semakin meningkat di dalam dan luar negara mengenai keadaan yang rapuh, dunia dikejutkan dengan retorik keterlaluan yang menginjak-injak udara tipis harapan Palestin untuk keamanan dan kehidupan yang stabil di rantau ini,” katanya.
Tegas Pyongyang, cadangan Trump itu terbukti melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.
Bahkan, cadangan Trump itu bukan sahaja halangan utama kepada penyelesaian dua negara tetapi satu “tindakan melulu yang sama sekali tidak boleh diterima”.
Kenyataan itu langsung tidak menyebut nama Trump.
KCNA juga menuduh Washington melindungi dan menggalakkan “kekejaman tidak berperikemanusiaan” oleh Israel dengan bercakap tentang “haknya untuk mempertahankan diri” dan menyediakan peralatan pembunuhan berteknologi tinggi kepada Israel.
Pada 4 Februari, Trump berkata, AS akan “mengambil alih” Gaza dan menempatkan semula penduduk Palestin di tempat lain di bawah rancangan pembangunan semula yang luar biasa yang didakwanya boleh mengubah enklaf itu menjadi “Riviera di Timur Tengah.”
Cadangannya itu mendapat kecaman meluas daripada rakyat Palestin, negara Arab, dan banyak negara lain di seluruh dunia, termasuk Kanada, Perancis, Jerman dan United Kingdom. – Agensi