MoU sempena program National MYAERO TVET Symposium 2025 itu diwakili oleh Dr. Ruzairi Abdul Rahim, manakala GITC diwakili Palaniappan di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini  bagi menjalin kerjasama strategik dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

MoU yang diadakan bersempena program National MYAERO TVET Symposium 2025 itu diwakili oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, manakala GITC  diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Palaniappan A/L Joseph merangkap ahli High-Level Committee (HLC), Majlis TVET Malaysia (MTVET).

Kerjasama tersebut dilaksanakan bagi memberi impak positif kepada ekosistem TVET negara, selain sebagai usaha meningkatkan kualiti penyelidikan, latihan, penerbitan dan kebolehpasaran graduan TVET.

Untuk rekod, UTHM merupakan universiti pertama dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang menjalinkan kerjasama dengan GITC.

Kerjasama yang bakal terjalin merangkumi beberapa bidang utama iaitu melibatkan projek penyelidikan dan perundingan yang berfokus kepada  peningkatan kualiti dan inovasi dalam TVET.

Selain itu, kedua-dua institusi bakal bekerjasama dalam program latihan, pensijilan dan pembangunan profesional untuk staf dan tenaga pengajar TVET, termasuk penganjuran bengkel, seminar dan kursus jangka pendek serta pembangunan kurikulum yang relevan dengan keperluan industri.

Kerjasama itu juga bagi membuka peluang penempatan industri untuk pelajar UTHM di syarikat-syarikat yang berkolaborasi dengan GITC, serta peluang latihan dan pembangunan kerjaya untuk staf GITC di UTHM,  bagi memastikan graduan TVET  memenuhi keperluan industri.

Menurut Ruzairi, kerjasama itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam mengembangkan rangkaian teknikal UTHM dengan rakan kerjasama yang boleh dipercayai.

“Antara program kolaborasi yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat adalah menjadi rakan penyelidikan yang diketuai oleh Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET), Prof. Madya Ts. Dr. Badaruddin Ibrahim,” katanya.

Sementara itu, Palaniappan pula berkata, inisiatif seumpama itu penting bagi merapatkan jurang antara industri dan pendidikan TVET,  di samping memberi peluang kepada graduan TVET mendapatkan penempatan kerja yang setara dengan bidang pengajian, agar pendedahan dan peningkatan kemahiran mereka dapat ditingkatkan.

“Ia juga bagi membantu syarikat mendapat individu yang berbakat dan graduan yang dilengkapi dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan, sekali gus memastikan tenaga kerja pakar negara sentiasa mencukupi,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast