Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican bercakap pada Program Townhall Rakyat Mencari Kebenaran di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 15 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat perlu merehatkan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Terrirudin Ahmad daripada jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga kes mahkamah berkaitan isu titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak selesai.

Peguam kanan, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, ini kerana terdapat persoalan serius berhubung kredibiliti, ketelusan dan integiriti melibatkan Terrirudin bersabit kes titah adendum terbabit.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar beliau, Terrirudin disifatkan tidak mengambil keputusan yang sepatutnya sebagai AG ketika menerima titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Antaranya, kata beliau, Terrirudin seolah-olah membiarkan satu dokumen yang mempunyai implikasi undang-undang tidak dizahirkan sehinggalah Najib memfailkan permohonan bagi mencabar titah adendum tersebut di mahkamah.

Selain itu, ujarnya, Terrirudin juga dinilai tidak memberi nasihat kepada Menteri Dalam Negeri untuk menjawab berkenaan isu titah adendum tersebut di Parlimen sehingga menteri berkenaan disifatkan telah memberi jawapan mengelirukan apabila menyebut titah adendum tersebut hanya khabar angin (hearsay).

Selain itu, tambahnya, ketika prosiding kes itu memasuki ke peringkat Mahkamah Rayuan juga, Terrirudin tidak menyatakan menerusi affidavit kepada mahkamah bahawa titah adendum tersebut wujud atau sebaliknya.

“Pertamanya kamu (Terrirudin) tak beritahu kepada kerajaan (kewujudan titah adendum)…keduanya kamu benarkan menteri untuk misslead (mengelirukan) Parlimen dan kamu juga misslead mahkamah.

“Ini adalah kesalahan serius oleh bekas Peguam Negara dan kesalahan ini bukan dari nature (situasi) yang boleh kita alpakan…sebab ini kesilapan melibatkan kesalahan individu itu (Terrirudin).

“Kalau sekarang dia bukan lagi Peguam Negara, tetapi dia sekarang seorang hakim…tetap terikat kepada dia sebagai hakim yang dia kurang kredibiliti sebagai seorang hakim.

“Dan dia pula Hakim Mahkamah Persekutuan, bukannya Hakim Mahkamah Sesyen atau Hakim Mahkamah Majistert…dia berkedudukan untuk membuat keputusan-keputusan penting dalam negara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan…sebab apabila Federal Court decide, its become a law (keputusan Mahkamah Persekutuan akan jadi undang-undang),” katanya.

Beliau berucap pada sesi TownHall Rakyat Mencari Kebenaran: To Gag Or Not To Gag, Whats The Order yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Tambah Hasnal Rezua Merican, tindakan merehatkan Terrirudin sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan daripada mendengar kes-kes lain sehingga perbicaraan titah adendum selesai dilihat langkah sesuai berbanding membentuk tribunal bagi melucutkan jawatannya sebagai hakim ketika ini.

Ia mengambil kira persoalan berkenaan integriti dan ketelusan Terrirudin ketika ini adalah atas kapasiti beliau sebagai Peguam Negara terdahulu, bukannya sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan ketika ini.

“Sebab itu saya berpandangan tindakan ke atas beliau boleh dibuat secara administrative (pentadbiran) oleh Ketua Hakim Negara iaitu mesti merehatkan Hakim Mahkamah Persekutuan daripada mendengar kes-kes sekarang sementara isu titah adendum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes yang dibawa Najib.

“Rehatkan dia (Terrirudin) dulu…sebab ada persoalan serius berkenaan kredibiliti, transparency (ketelusan) dan isu integriti.

“Semuanya tercalar dan terkait dalam perjawatan dahulu (Peguam Negara) dan dibawa ke perjawatan sekarang (Hakim Mahkamah Persekutuan),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here