KOTA KINABALU – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor menerima kunjungan hormat daripada deligasi Universitas Muhammadiyah Yogjakarta (UMY) Indonesia baru-baru ini.
Delegasi UMY yang diketuai oleh Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa Fakulti Sosial dan Sains Politik UMY, Dr. Sugito itu antara lain bertujuan meneroka peluang kerjasama, mobiliti dan penyelidikan di antara kedua-dua universiti.
Pada kunjungan tersebut juga, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS turut mengadakan syarahan bersama UMY yang dihadiri oleh kira-kira 80 pelajar Program Hubungan Antarabangsa UMS.
Syarahan anjuran Program Hubungan Antarabangsa FSSK UMS itu antara lain bertujuan melihat potensi kerjasama strategik Malaysia-Indonesia dalam menangani cabaran politik antarabangsa.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Dekan FSSK UMS, Dr. Asmady Idris di Kota Kinabalu dan teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Dekan (Akademik) FSSK, Dr. Fauzi Sarjono.
Menurut Asmady, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia bukan sahaja terjalin dalam konteks diplomatik dan ekonomi tetapi juga dalam bidang akademik dan penyelidikan.
“Kerjasama antara institusi pengajian tinggi seperti UMS dan UMY memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan serantau, memupuk kefahaman yang lebih mendalam mengenai isu politik antarabangsaserta menyumbang kepada pembangunan ilmu yang lebih lestari.
“Dalam dunia yang semakin kompleks dan penuh cabaran, kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam menangani pelbagai isu geopolitik dan hubungan antarabangsa menjadi semakin relevan.
“Forum ilmiah seperti ini membuka ruang perbincangan yang produktif dalam memahami dan mencari solusi kepada cabaran yang dihadapi oleh kedua-dua negara dan rantau ini secara keseluruhan,” katanya.
Tambah Asmady, Kementerian Pendidikan Tinggi amat menggalakkan usaha memperbanyak kerjasama akademik antara universiti di ASEAN bersempena kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi di rantau ini tetapi juga memainkan peranan penting dalam membangunkan wacana akademik yang lebih inklusif dan strategik.
“Saya yakin bahawa syarahan bersama ini bukan sahaja akan memberikan manfaat akademik, tetapi juga memperkukuh hubungan persahabatan dan jalinan strategik antara kedua-dua institusi kita.
“Saya berharap agar perbincangan yang akan berlangsung hari ini dapat membuahkan idea-idea yang bernas serta mengukuhkan kolaborasi antara para akademik dan mahasiswa dari kedua-dua universiti,” katanya.
Hadir sama, Ketua Program Hubungan Antarabangsa UMS, Suzalie Mohamad serta wakil Persatuan Pelajar Pascasiswazah FSSK (PESAKUMS). – MalaysiaGazette