KUALA LUMPUR – Sebuah premis di Klang, Selangor yang dipercayai menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sarung tangan getah sekerap tanpa permit yang sah Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah diserbu Khamis lalu.

Serbuan ini dilakukan oleh anggota penguat kuasa daripada Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) LGM tbersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Hasil serbuan ini, LGM mendapati premis berkenaan telah menyalahgunakan tanda bungkusan dengan meletakkan tanda ‘Made in Malaysia’ pada kotak bagi sarung tangan getah yang tidak dihasilkan di Malaysia.

Aktiviti ini merupakan satu kesalahan yang telah melanggar Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 22(1)(b) dan 58 yang mana nilai denda bagi kedua-dua kesalahan adalah tidak melebihi RM80,000 atau penjara tidak melebih dua hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Hasil daripada operasi yang telah dijalankan, LGM berjaya merampas 196 palet berisi sarung tangan getah yang ditolak dengan anggaran sebanyak 13,000 karton berserta beberapa sitaan lain yang bernilai anggaran RM346,000.00.

LGM berkata, pihaknya sedang giat menjalankan operasi bersepadu bagi mengawal selia keseluruhan rantaian industri getah yang beroperasi khususnya untuk membanteras aktiviti haram premis sarung tangan getah serta penyalahgunaan tanda bungkusan “Buatan Malaysia” demi menjaga imej industri getah negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here