KUALA LUMPUR – Bermula esok, 17 Februari 2025, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan memperluaskan kemudahan lorong bas sedia ada di Jalan Ampang meliputi jarak sepanjang 1.0 kilometer.
Perluasan yang dilakukan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor melibatkan dua seksyen.
Seksyen A melibatkan ssur masuk ke Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) sehingga Persimpangan Jalan Mamanda 1, dan bersambung dengan lorong bas Jalan Ampang yang sedia ada.
Seksyen B pula dari hentian bas Bandar Baru Ampang/ Persimpangan Jalan Wawasan Ampang sehingga susur keluar Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).
Rapid KL berkata, perluasan Lorong bas ini mula diperkenalkan pada 3 Julai 2023 meliputi jarak sepanjang 3.0 kilometer.
Menurutnya, Rapid Bus dan JKR akan menjalankan penilaian selama tiga bulan melibatkan beberapa aspek seperti masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas di seksyen yang dinyatakan di atas.
Operasi lorong bas bermula dari jam 6 pagi hingga jam 9 pagi, Isnin hingga Jumaat sahaja.
Dua laluan utama perkhidmatan bas yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini adalah laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang) serta laluan 303 (Hentian Mulia Jaya –Lebuh Ampang) dan beberapa laluan bas perantara dari sekitar Pandan Indah, Bukit Indah, Mulia Jaya serta Lembah Jaya.
Rapid KL berkata, lorong bas ini merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan turut disokong oleh Jawatankuasa Kabinet yang ditubuh bagi menangani kesesakan lalu lintas dan dipengerusi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Kementerian Pengangkutan selaku sekretariat utama.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria dalam kenyataannya berkata, sejak pengenalan lorong bas di Jalan Ampang pada 3 Julai 2023, masa perjalanan bas telah berjaya dikurangkan antara 10 minit hingga 15 minit.
Pelaksanaan lorong bas di Jalan Ampang telah mencatatkan pertambahan penumpang yang memberangsangkan.
Sehingga kini, purata jumlah penumpang harian adalah sebanyak 14,631 penumpang sehari iaitu peningkatan sebanyak 14.14 peratus berbanding 12,819 penumpang sebelum pelaksanaannya.
”Kami berharap dengan manfaat kelancaran operasi dan penjimatan masa perjalanan dapat menarik lebih ramai lagi warga kota untuk beralih menggunakan pengangkutan awam. Selain itu, Rapid Bus menyeru pengguna jalan raya untuk menghormati lorong bas serta tidak menyalahgunakan lorong tersebut,” ujar Ku Jamil. – MalaysiaGazette