Fahmi Fadzil berucap pada majlis pelancaran Program Temu Anak Muda Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang mula berkuat kuasa lima hari lalu, tidak menggugat kebebasan bersuara di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kebebasan bersuara dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun ia tertakluk kepada undang-undang.

“Saya tidak lihat pindaan akta berkenaan mengganggu gugat kebebasan bersuara. Ketika sesi perbahasan di Parlimen, saya dah sebut Perkara 10 Fasal 1 bermula dengan `tertakluk kepada Fasal 2 dan berikutnya’.

“Ini bermakna, kebebasan bersuara di Malaysia memang tertakluk kepada undang-undang yang boleh digubal di Parlimen,” katanya ketika menjawab soalan media sama ada pindaan terhadap Akta 588 yang berkuatkuasa 11 Februari lalu menyekat kebebasan bersuara di negara ini.

Terdahulu, Fahmi melancarkan Program Temu Anak Muda Lembah Pantai.

Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan berkata, pindaan terhadap akta itu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu menyediakan ekosistem rangkaian Internet lebih selamat kepada pengguna.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, fokus pindaan lebih kepada isu-isu jenayah yang berlaku dalam talian seperti pedofilia, buli siber, scam dan judi dalam talian.

“Pindaan itu melibatkan beberapa perkara dan huraian tertertu antaranya jika dahulu dipanggil `jelik’ kini dipanggil `jelik melampau’.

“Jadi perkataan yang digunakan dalam pindaan itu kini lebih khusus, lebih jelas dan tidak terlalu luas beserta huraiannya,” ujar beliau.

Ketika ditanya sama ada terdapat aduan baharu diterima selepas pindaan akta dikuatkuasakan, Fahmi berkata, setakat ini lapan individu yang dikaitkan dengan penyebaran berita palsu berhubung Majlis Raja-Raja telah dipanggil memberi percakapan.

Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyita peranti yang digunakan untuk siasatan forensik digital.

“Jika Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati kertas siasatan mencukupi untuk dibawa ke muka pengadilan, maka itu proses berikutnya.

“Saya telah dimaklumkan ekoran penguatkuasaan pindaan pada 11 Februari lalu, hukumannya memang lebih berat,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Fahmi memberi peringatan agar semua pihak berhati-hati terhadap penerimaan maklumat tidak sahih dalam media sosial dan dilarang menyebarkannya.

“Jika berita itu tidak disahkan, sila rujuk dengan media arus perdana, tidak kira mana-mana media sekalipun. Jangan pula kira reshare, like dan repost, barangkali itu pula boleh jadi satu kesalahan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here