PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pengoperasian sekolah sepanjang bulan Ramadan tahun ini akan berjalan seperti biasa, sama seperti tahun sebelumnya.
Dalam satu kenyataan, KPM berkata, terdapat usaha pihak tertentu yang cuba menularkan maklumat tidak bertanggungjawab di media sosial mengenai jadual persekolahan dalam bulan Ramadan.
“Pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan bagi Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan KPM akan berjalan seperti biasa berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang masih berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.
Menurut KPM, beberapa penyesuaian jadual telah dibuat bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan serta memberi keselesaan kepada murid dan guru beragama Islam dalam menjalani ibadah puasa.
“Untuk sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam, sesi persekolahan akan tamat seawal jam 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, sesi akan berakhir pada pukul 5 petang.
“Bagi sekolah sesi pagi, operasi akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang perubahan,” katanya.
KPM turut mengarahkan semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri untuk mengingatkan pengetua serta guru besar agar mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
Dalam masa sama, KPM menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba mengelirukan masyarakat. -MalaysiaGazette