Shamsul Azri Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kumpulan Fokus Daya Saing Perniagaan yang diterajui oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia dan Kumpulan Fokus Pengurusan Dana Awam yang diterajui oleh Kementerian Kewangan akan mengesyorkan strategi untuk meningkatkan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.

Dua kumpulan ini akan mengemukakan laporan komprehensif hasil analisis survei dan cadangan penambahbaikan kepada Pasukan Petugas Khas CPI supaya langkah intervensi dapat diambil untuk menambahbaik prestasi Malaysia dalam CPI di tahun-tahun akan datang, kata Pasukan Petugas Khas mengenai Indeks Persepsi Rasuah dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan Fokus Perundangan yang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pula akan memberi tumpuan terhadap reformasi perundangan yang sedang dilaksanakan iaitu pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat, bagi meningkatkan keyakinan awam berhubung komitmen negara dari segi ketelusan dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Tindakan ini susulan mesyuarat kedua pasukan petugas itu yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Mesyuarat ini bagi membincangkan strategi memperbaiki prestasi skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI susulan keputusan CPI tahun 2024 yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia pada 11 Februari 2025.

Pasukan Petugas Khas CPI kali ini membincangkan langkah untuk memperbaiki prestasi Malaysia dalam CPI dan menyarankan supaya perhatian yang sewajarnya diberikan kepada survei IMD World Competitiveness Yearbook dan Economist Intelligence Country Risk Service yang mengalami penurunan dalam penilaian CPI Malaysia bagi tahun 2024.

Menurutnya, antara langkah penambahbaikan yang dicadangkan adalah meningkatkan komunikasi dan advokasi berhubung usaha kerajaan ke arah penambahbaikan tatakelola melalui inisiatif dan pembaharuan undang-undang seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

Selain itu, penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dan usaha menangani karenah birokrasi melalui Reformasi Karenah Birokrasi dan penambahbaikan mekanisme pelesenan perniagaan.

Susulan daripada perbincangan ini, Pelan Hala Tuju CPI 10 tahun telah dirangka bagi mencapai sasaran untuk meletakkan Malaysia di tangga ke-25 terbaik pada tahun 2033 dengan menggariskan tiga dimensi utama iaitu akauntabiliti bersama, institusi yang kukuh dan berkesan serta kolaborasi strategik.

Bagi memperkukuh kolaborasi strategik usaha ini, Good Governance Conference 2025 akan dianjurkan pada 24 Februari 2025 di Putrajaya yang mensasarkan penglibatan dari sektor awam, swasta, akademia dan pertubuhan bukan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast