KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjaya menaikkan kadar pendapatan minimum peneroka daripada RM120 kepada RM150 seekar bagi membantu menampung peningkatan kos sara hidup.
Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenaikan pendapatan dan kebajikan peneroka itu dilakukan sejak Oktober 2023.
“Pendapatan minimum peneroka ini adalah pendapatan bersih selepas ditolak kos operasi, hutang, dan caruman,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedang mengusahakan program perumahan generasi baharu Felda dengan mendapatkan peruntukan khas bagi membolehkan lebih ramai generasi peneroka memiliki kediaman sendiri.
“Insya-Allah membuat beberapa lagi program di Felda terutamanya rumah generasi dengan mendapatkan peruntukan khas.
“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Johor kerana mengambil insiatif dengan menyediakan lot-lot tapak perumahan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sentiasa diperkasakan daripada segi keupayaan operasi dalam menangani bencana dan kecemasan.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM45 juta di bawah RMK-12 bagi pembelian aset bencana dan operasi.
“Sebanyak RM35 juta diperuntukkan untuk pembelian kenderaan operasi, termasuk skylift dan penggantian ambulans.
“Peruntukan ini akan ditingkatkan mengikut keperluan bagi memastikan APM sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. – MalaysiaGazette