KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk memperkukuh ekosistem pembangunan teknologi negara melalui penyelidikan, inovasi, dan keusahawanan teknologi, khususnya di Sabah.
MoU antara kedua-dua pihak dimeterai dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor memaklumkan, menerusi MoU tersebut UMS dan MTDC akan bekerjasama dalam mempromosikan pengkomersialan dan keusahawanan dalam kalangan penyelidik, pelajar dan alumni UMS, selain akan menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi tempatan, serta meneroka peluang pelaburan dan pembiayaan bagi syarikat berasaskan teknologi.
“MoU ini juga akan menyokong kerjasama antara akademia dan industri bagi meningkatkan pemindahan teknologi dan kemahiran, serta bakal memacu jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang lain yang akan dipersetujui bersama.
“Pemeteraian MoU ini adalah titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara UMS dan MTDC, dengan tempoh permulaan selama satu tahun.
“Kami berharap agar jalinan ini dapat diperpanjang dan diperluaskan lagi bagi memberikan impak yang lebih besar dalam landskap pengkomersialan dan keusahawanan teknologi di Malaysia, khususnya di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. Hj. Mohammad Hazani Hj. Hassan menegaskan kolaborasi tersebut akan menjadi platform strategik untuk menghubungkan penyelidik, usahawan, dan industri dalam mempercepatkan pemindahan teknologi serta pengkomersialan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi tempatan.
“Kolaborasi ini dijangka dapat mempercepatkan pengkomersialan inovasi universiti, membangunkan bakat teknousahawan, memperkukuh ekosistem penyelidikan, serta menyokong perkembangan syarikat pemula teknologi (tech startups) dari Sabah ke peringkat global.
“Melalui MoU ini, MTDC dan UMS akan menumpukan usaha untuk mempercepatkan pengkomersialan hasil aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari makmal UMS terus ke industri dan pasaran, di samping meningkatkan kapasiti keusahawanan dalam kalangan pelajar dan penyelidik UMS.
“Ini sekali gus mampu mewujudkan peluang kerjasama antara syarikat pemula teknologi di Sabah dengan ekosistem pembiayaan dan bimbingan MTDC,” katanya.
Mohammad Hazani menambah, UMS sebagai institusi penyelidikan utama di Sabah berpotensi besar untuk membangunkan teknologi berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada industri tempatan dan nasional.
“UMS dilihat sebagai sumber utama aliran tawaran produk dari Sabah untuk inisiatif MySTI.
“Kerjasama ini akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang akan memacu inovasi dan pembangunan teknologi di Malaysia Timur serta memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi serantau,” katanya.
Ujar beliau, MTDC optimis MoU tersebut akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara melalui teknologi dan inovasi.