Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan mandatori caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus kepada pekerja asing bertujuan mewujudkan layanan sama rata atau level playing field dengan pekerja tempatan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tanpa caruman wajib untuk pekerja warga asing, ia mengakibatkan kos menggajikan pekerja asing lebih rendah berbanding menggajikan pekerja tempatan.

Ujar beliau, peluasan mandatori caruman itu juga secara tidak langsung dapat menggalakkan penggajian lebih ramai pekerja tempatan.

Selain itu, tambahnya, daripada segi layanan percukaian, majikan yang membuat caruman KWSP sebanyak dua peratus kepada pekerja asing turut mendapat potongan cukai terhad sehingga 19 peratus daripada jumlah saraan pekerja tanpa mengira pekerja terbabit warga negara atau bukan warganegara.

“Perdana Menteri pada 3 Februari 2025 telah mengumumkan caruman majikan akan ditetapkan pada kadar dua peratus dan caruman syer pekerja sebanyak dua peratus sehingga kajian selanjutnya pada masa hadapan dengan mengambil kira kesesuaian semasa,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Amir Hamzah menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) sama ada majikan akan dikecualikan daripada sumbangan KWSP untuk pekerja asing mereka demi meringankan beban kewangan peniaga tempatan.

Sementara itu, kepada soalan pelaksanaan e-invois, beliau berkata, kerajaan telah memberi pengecualian pengeluaran invois kepada peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah nilai ambang RM150,000.

Menurutnya, langkah itu akan memberi manfaat kepada lebih 700,000 peniaga kecil seperti peniaga nasi lemak atau penjaja kerana tidak perlu mengeluarkan e-invois.

Tambah beliau, bagi terus membantu perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) untuk mempunyai tempoh persediaan secukupnya, kerajaan bersetuju supaya fasa pelaksanaan e-invois bagi PMKS yang mempunyai nilai jualan tahunan antara RM150,000 hingga RM500,000 setahun ditangguhkan ke 1 Januari 2026.

“Sebagai tambahan, tempoh peralihan selama enam bulan juga akan disediakan kepada kumpulan peniaga ini yang akan memberi manfaat kepada lebih 240,000 PMKS,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here