KUALA LUMPUR – Sebuah Perodua Bezza menanti pemenang bertuah dalam Perkeso Run & Ride 2025 yang akan berlangsung pada 20 April ini di Dataran Wawasan, Putrajaya.
Pengerusi Jawatankuasa Program, Dr Azlan Darus berkata, program itu menyasarkan penyertaan seramai 10,000 peserta dengan objektif utama adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat kepada rakyat Malaysia.
Selain itu, PERKESO Run & Ride 2025 juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan peserta, tanpa mengira umur, bangsa, atau latar belakang.
“Perkeso Run & Ride 2025 sebenarnya selaras dengan kempen membudayakan amalan hidup sihat yang dipraktikkan Perkeso selama ini, kami mahu rakyat Malaysia sama-sama amalkan gaya hidup sebegini.
Terdapat beberapa kategori individu ditawarkan dan bagi kategori larian, peserta boleh memilih antara jarak 3km, 6km atau 10km dengan yuran penyertaan sebanyak RM50.
Manakala sukan berbasikal, kategori 35km ditawarkan pada kadar RM60.
Selain acara individu, program itu turut menawarkan “Family Package” untuk empat orang pada harga RM180 bagi kategori larian dan RM220 untuk kategori berbasikal.
Program yang akan bermula 7 pagi itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti sesi zumba dan pameran-pameran daripada vendor.
Setiap peserta yang mendaftar akan menerima jersi ekslusif Perkeso Run & Ride 2025, pingat, beg acara dan kit larian yang mengandungi kejutan istimewa buat semua peserta.
Pendaftaran dibuka sehingga 28 Februari 2025 dan orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui laman sesawang runandride.perkeso.gov.my. – MalaysiaGazette