KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ketika ini kerajaan masih dalam peringkat menentukan mekanisme terbaik untuk melaksanakan penyasaran RON95 bagi memastikan penyasaran ini benar-benar mencapai objektif yang disasarkan.
Menurutnya, pada masa sama, kerajaan juga akan memastikan tidak akan berlaku kenaikan kepada harga barang dan perkhidmatan secara tidak munasabah dan tidak terkawal akibat daripada penyasaran subsidi tersebut.
“Mengambil kira mekanisme yang digunakan semasa Kerajaan melaksanakan penyasaran diesel pada tahun 2024 yang lalu, KPDN sedang menambahbaik sistem sedia ada untuk memberikan kuota petrol bersubsidi kepada kenderaan komersial yang layak.
“Pada ketika ini, kumpulan sasar yang akan menggunakan fleet card bersubsidi ini sedang dikenalpasti dan satu perbincangan di antara KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ia akan dilaksanakan bagi memuktamadkan senarai akhir kumpulan yang layak untuk mengunakan fleet card petrol bersubsidi ini,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang) yang meminta KPDN menyatakan adakah apabila dilancarkan program subsidi bersasar petrol RON97 pada pertengahan tahun 2025 ini tidak akan menyebabkan harga barang naik dan kos
sara hidup rakyat akan meningkat dan apakah persiapan Kementerian untuk
menangani isu tersebut.
Sebelum itu beliau menjelaskan, petrol RON97 tidak terlibat di dalam penyasaran subsidi memandangkan petrol RON97 ini telah lama diapungkan sejak Jun 2018.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pemberian petrol bersubsidi kepada kumpulan sasar yang tepat secara tidak langsung dapat mengekalkan kos perkhidmatan dan kos penghantaran barangan keperluan kepada rakyat dan seterusnya tidak membebankan rakyat dengan tambahan kos sara hidup.
Katanya, bagi mengawal dan mengekang peniaga daripada mengambil kesempatan
memanipulasi harga barangan KPDN akan mempertingkat lagi penguatkuasa
melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan
Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan
Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.
Menerusi peraturan ini, kerajaan melaksanakan tindakan di bawah Ops Kesan bagi memastikan manamana perniagaan sama ada di peringkat rantaian pengeluaran atau pembekalan barangan atau penyedia perkhidmatan tidak mengambil kesempatan kesan
daripada penyasaran subsidi.
“Kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif yang dapat meringankan kos sara hidup rakyat dan mengewal kenaikan seperti melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan; memperluaskan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di seluruh
negara serta menyalurkan BUDI MySubsidi Diesel untuk memastikan syarikat
pengangkutan darat awam dan barangan yang layak kekal menerima
diesel bersubsidi melalui fleet card.
“Pada masa sama, kementerian meningkatkan Program Pengedaran Barang Perlu dan diperluaskan di kawasan-kawasan baharu terutama di kawasan pedalaman serta memperkenalkan inisiatif KITA GEMPUR.
“Kementerian berharap usaha untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dapat dipikul secara bersama melalui pendekatan keseluruhan kerajaan pihak industri dan juga orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette