KUALA LUMPUR – Lebih 14,000 perusahan kecil dan sederhana (PKS) menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM18.5 bilion menerusi inisiatif Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) sepanjang tahun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mereka merupakan sebahagian daripada keseluruhan lebih 75,000 PKS yang mendapat manfaat daripada SJPP sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April 2009 hingga Disember tahun lalu membabitkan pembiayaan lebih RM102 bilion.
Sementara itu, ujar beliau, bagi inisiatif Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pula, seramai sebanyak 36,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM9.7 bilion diluluskan sepanjang tahun lalu.

Jelasnya, secara keseluruhan sejak SJKP diperkenalkan pada 2007 hingga Disember tahun lalu, inisiatif SJKP itu telah memberi manfaat kepada 76,000 pemohon dengan jumlah pembiayaan melebihi 17.8 bilion.
Sehubungan itu, beliau berharap SJPP, institusi kewangan dan semua pihak berkepentingan untuk lebih aktif dan terus memperluaskan jangkauan melalui kempen bersasar, platform digital dan perkhidmatan penasihatan kepada komuniti PKS yang tidak mempunyai cagaran atau sejarah kredit kukuh tetapi mempunyai potensi pertumbuhan tinggi, namun belum mendapat akses kepada pembiayaan.
Dalam masa sama, ujarnya, SJKP juga perlu terus memberi tumpuan kepada pembeli rumah pertama khususnya mereka dalam ekonomi gig, sektor tidak formal dan komuniti luar bandar yang mungkin tidak memenuhi syarat perbankan tradisional.
“Dengan mempermudahkan proses, meningkatkan literasi kewangan, komunikasi, jalinan kerjasama dengan pemaju perumahan dan pihak bank, lebih ramai individu dapat merealisasikan impian memiliki rumah, justeru meningkatkan kesejahteraan sosial, ekonomi dan mengurangkan jurang pemilikan rumah di kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 – Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan Dan Skim Jaminan Kredit Perumahan, di sini hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, sejumlah RM5 bilion daripada RM20 bilion yang diperuntukkan kerajaan kepada SJPP menerusi Belanjawan 2025 telah dikhususkan kepada syarikat Bumiputera.
Jelas beliau, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuck memperkasakan komuniti perniagaan Bumiputera dan memberikan mereka peluang yang adil untuk berkembang dalam pelbagai sektor ekonomi, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran produk dan daya saing syarikat Bumiputera di peringkat domestik dan global.
Tambahnya, pemerkasaan Bumiputera kekal sebagai fokus utama memastikan penyertaan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang saksama dalam kalangan komuniti Bumiputera.
“Ini merangkumi inisiatif membangun keusahawanan, meningkatkan akses kepada pembiayaan dan memperkukuh kehadiran Bumiputera dalam industri bernilai tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette