KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendapati tiada peruntukan dan perundangan subsidiari berhubung pendakwaan dalam kesalahan mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI).
KPKM dalam satu kenyataan berkata, tiada peruntukan dalam Akta Kawalan Padi Beras 1994 (Akta 522) yang membolehkan dikenakan tindakan undang-undang berhubung perbuatan berkenaan.
“Hasil kajian umum Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember 2024 mendapati pencampuran BPT dan BPI bukanlah amalan baharu, sebaliknya telah berlaku sejak tahun 1970-an dan tiada sebarang usaha dijalankan sejak 50 tahun lalu untuk mengawal aktiviti ini,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu didapati merujuk kepada pemakluman Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bahawa sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Penemuan ini memberi asas kukuh kepada kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dalam penipuan ini.
Justeru itu, KPKM berkata, pihaknya telah diarah untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan.
Malah KPKM juga digesa untuk merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Hasil siasatan mengenai kehilangan BPT turut terjawab apabila Task Force Khas Bersepadu Operasi BPT (OP BPT) yang ditubuhkan oleh KPKM mendapati punca kekurangan bekalan BPT adalah disebabkan oleh masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT serta tiada peruntukan khusus mengenai larangan pencampuran beras di dalam Akta 522,” kata KPKM lagi.
Sebagai makluman, harga siling BPT telah ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram
sejak tahun 2008 yang mana pada waktu itu harga belian padi sekitar RM750 per
metrik tan.
Selepas 17 tahun, harga minimum belian bagi satu tan padi telah diselaras
sebanyak dua kali iaitu RM1,200 pada tahun 2014 dan RM1,300 pada tahun 2024 dengan
penyelarasan yang terkini telah berkuat kuasa pada 16 Februari 2025 adalah RM1,500,
namun harga siling BPT masih tidak berubah.
Dalam situasi ini, pesawah mahu mendapatkan harga padi yang tinggi bagi meningkatkan
pendapatan, pengilang dan pemborong pula ingin mengekalkan margin keuntungan
manakala pengguna hendak mendapatkan beras berharga RM26 bagi 10 kilogram.
Kesannya, wujud ketidakseimbangan dalam industri kerana setiap penyelarasan
harga lantai belian padi tanpa disertai dengan semakan harga siling BPT boleh
menyebabkan pengeluar beras tidak dapat menampung kos pengeluaran, yang
akhirnya menjejaskan bekalan BPT di pasaran.
Bagi mencari solusi ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna,
kerajaan melalui KPKM telah memulakan reformasi besar-besaran
terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024.
Antara langkah awal yang telah diambil adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dan memperkasakan peranan MARDI dalam mengenalpasti varieti beras melalui teknologi DNA.
Selain itu, bagi berlaku ihsan terhadap kehidupan rakyat, Kerajaan Madani
memberikan subsidi sekitar RM150 juta untuk mengekalkan BPT pada harga RM2.60
sekilogram.
Menurutnya, langkah ini adalah untuk membantu rakyat terutama golongan
berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya
membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.
Oleh itu KPKM berharap langkah-langkah yang diambil ini akan mendapat sokongan
daripada semua pihak bagi memastikan industri padi dan beras negara kekal mampan,
serta bekalan beras yang stabil dan berpatutan untuk rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette