PUTRAJAYA – Anjung Syawal yang bakal diadakan selama 33 hari mulai Jumaat lalu di Dataran Putrajaya menyasarkan jualan pelbagai produk dan segmen pasaran menjangkau nilai RM10 juta.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, sasaran berupaya dicapai kerana Bazar Aidilfitri yang terbesar di Lembah Klang itu memasuki penganjuran tahun ke-13 yang sentiasa ditunggu-tunggu orang ramai.
Beliau berkata, pihaknya turut menjangka akan mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan penduduk di luar Kuala Lumpur yang membolehkan setiap lot niaga menjana jualan RM30,000.
“Kami telah berjaya menjual 320 lot niaga di Anjung Syawal dengan bayaran sewa penuh di mana ia melepasi sasaran awal sebanyak 292 lot niaga. Apa yang mengejutkan, tawaran lot niaga ini hanya dibuka secara rasmi pada awal Januari lalu.
“Sambutan menggalakan ini berjaya menepis dakwaan Bazar Aidilfitri tahun ini tidak akan meriah seperti kebiasaan namun sebaliknya sambutan lot niaga di Anjung Syawal.
“Ini kerana terdapat isu yang dimainkan di media sosial yang menasihati peniaga agar tidak berniaga di Bazar Aidilfitri kerana masyarakat tidak lagi gemar secara fizikal lagi,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis pelancaran Anjung Syawal di Presint 3, Dataran Putrajaya di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, buat pertama diadakan pelancaran memperkenalkan lagu tema dan video muzik Anjung Syawal iaitu Raya Sebenarnya nyanyian duet Rayme bersama penyampai radio, Feeya Iskandar atau Cik Piah.
Turut diadakan kolaborasi Anjung Syawal dan Yang Riang Raya bersama pempengaruh popular, Pinn Yang selain melibatkan golongan selebriti yang berniaga antaranya Liza Abdullah, Shahz Jazle, Rezza Shah OIAM dan Ayie Floor88.
Anjung Syawal yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya diadakan sempena Festival Ramadan Putrajaya kembali untuk tahun ke-13 bermula malam ini sehingga malam raya.
Bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’, pelbagai aktiviti dan reruai akan dilaksanakan dengan konsep kali ini akan menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun temurun di negara ini.
Mengulas lanjut, Rayme memberitahu, konsep Anjung Syawal kali ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan budaya Melayu tetapi juga memasukkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal.
Menurut beliau, pihaknya juga berhasrat menghubungkan warisan budaya dengan inovasi masa kini, seterusnya berusaha menarik minat semua golongan masyarakat mengenali budaya bangsa terutama generasi muda.
“Sebagai penganjur, kami mahu menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi dan terus menerus menghargainya walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar.
“Antara kelainan baharu Anjung Syawal adalah memperkenalkan segmen ‘Pangkin Tradisi dan Serambi Santai’ bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan serta ruang selesa untuk pengunjung beristirehat.
“Bagi mengekalkan tarikan dan kemeriahan pada tahun ini, khemah lutsinar serta berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk membolehkan pengunjung berbuka puasa bersama ahli keluarga,” katanya.

Rayme menambah, orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana lebih 2,000 tapak parkir kenderaan disediakan di sekitar kawasan utama Presint 3, Putrajaya bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung.
“Dengan harga bayaran yang rendah, kami berharap kemudahan parkir ini dapat memudahkan urusan pengunjung mencari barangan atau mengikuti aktiviti yang dijadualkan nanti,” ujarnya.
Rayme menerangkan, lokasi Anjung Syawal ini juga menjadi pilihan orang ramai setiap tahun kerana ia berdekatan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk memudahkan mereka menunaikan solat berjemaah dan juga bersolat tarawih. – MalaysiaGazette