Grandmama's, FM Group dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah menganjurkan program Beautiful Malaysia, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR –  Grandmama’s, FM Group dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah menganjurkan program Beautiful Malaysia bagi meraikan dan memartabatkan budaya  negara ini sekaligus menyahut seruan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Apa yang menarik, program yang berlangsung di Restoran Grandmama’s, Pavilion Damansara Heights ini bukan sekadar acara tetapi satu pameran mengenai keunikan tradisi di Malaysia menerusi kepelbagaian masakan, busana warisan dan kesenian.

Dalam masa yang sama, Beautiful Malaysia yang dianjurkan sempena iftar dan Hari Raya ini bertujuan untuk menzahirkan penghargaan terhadap warisan Malaysia dengan mengintegrasi unsur tradisional dengan ekspresi kontemporari.

Acara itu menampilkan bufet berbuka puasa terbaharu Grandmama’s yang dikenali sebagai Keindahan Rasa.

Ketua Chef Grandmama’s, Cef Raja Kamaroszaman berkata, tema itu dipilih bagi melambangkan identiti budaya rakyat Malaysia.

“Tema ini sebenarnya merupakan cara kita meraikan identiti budaya dan kepelbagaian dalam negara. Matlamat kami adalah untuk mencipta pengalaman yang menyeluruh yang bukan sahaja menyambut tetapi juga mendidik dan mengilhamkan komuniti kita mengenai kekayaan budaya Malaysia.

“Dengan hidangan seperti Nasi Byriani Ayam Kambus yang unik, Rendang Tok tradisional dari Perak, dan Laksa Kari yang merupakan signature kami, menggambarkan keindahan rasa Malaysia.

“Menerusi respons positif yang kami terima, kami rasa bangga dapat menyediakan hidangan yang bukan sahaja memuaskan tetapi juga mengukuhkan kebersamaan semasa musim perayaan,” katanya.

Acara ini menampilkan bufet berbuka puasa terbaharu Grandmama’s, yang dikenali sebagai Keindahan Rasa.

Tahun ini, bufet Iftar Grandmama’s berharga RM89++ seorang, menawarkan kadar istimewa sebanyak RM59++ untuk warga emas dan kanak-kanak.

Tidak lengkap acara Beautiful Malaysia tanpa pertunjukan fesyen dari FM Group yang menggabungkan teknik sulaman, pengunaan fabrik batik dan songket serta pemadanan aksesori pakaian tradisional Melayu.

Koleksi busana warisan dengan gabungan kreativiti daripada duo pereka fesyen Farel Mikhail dan Jonathan Kok, Wan Penanti (Pulau Pinang), Zhu Said (Kedah), Arm Nabil (Melaka), Norariffin D’Jejari Emas & Mohd abass Seri sanding Bridal (Sarawak), yang menakjubkan menunjukkan keanggunan busana tradisional Wanita Melayu Malaysia mewakili setiap negeri di Malaysia.

Sementara itu, KEMAS mengambil peranan utama dengan mempamerkan warisan artistik Malaysia melalui demonstrasi langsung teknik sulaman tradisional.

Pengarah FM Group, Farel Mikhail, menjelaskan program ini turut membantu dalam mencapai objektif untuk memartabatkan seni kebudayaan yang terdapat di Malaysia.

“Dalam usaha ke arah memartabatkan budaya, fesyen ini sama seperti makanan dan seni budaya. Ini adalah medium berkesan untuk memelihara dan mengembangkan identiti budaya kita agar dapat kekal relevan serta diteruskan oleh generasi akan datang.

“Ini secara tidak langsung, kami juga menyahut usaha kerajaan memperkasa, memelihara dan memulihara sejarah, budaya dan warisan negara agar kita dapat mencintai budaya yang menjadi lambang tradisi.

“Dengan menyatakan kepelbagaian makanan, fesyen dan seni, acara ini antara inisiatif dan tanggung jawab kami sebagai batu lonjakan dalam membantu kerajaan menjalankan promosi awal Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya. – MalaysiaGazette

Beautiful Malaysia yang dianjurkan sempena iftar dan Hari Raya ini bertujuan untuk menzahirkan penghargaan terhadap warisan Malaysia dengan mengintegrasi unsur tradisional dengan ekspresi kontemporari.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here