Dr. Leong Keen Wai yang bertugas di bahagian kecemasan Hospital Putrajaya bukan sahaja memiliki ilmu dalam perubatan, malahan mempunyai lesen memandu bas mini.

PETALING JAYA – Dr. Leong Keen Wai yang bertugas di bahagian kecemasan Hospital Putrajaya bukan sahaja memiliki ilmu dalam perubatan, malahan mempunyai lesen memandu bas mini.

Namun, selain mampu memandu bas mini, beliau turut memiliki sembilan jenis lesen memandu yang lain, termasuk untuk lori hospital dan juga ambulans.

Setiap hari, Dr. Keen Wai akan menunggang motosikal ke hospital, dan akan bertukar menjadi ‘doktor jalanan’ jika bertembung dengan kejadian kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan.

Selain cuba menyelamatkan mangsa, beliau juga memberi tunjuk ajar kepada orang lain yang berhenti untuk membantu.

Katanya, rakyat Malaysia selalu berhenti untuk membantu, tetapi mereka tidak tahu apa yang patut dan tidak patut dilakukan.

“Bagaimana untuk menggerakkan mangsa? Apa yang tidak boleh dilakukan semasa mengendalikan kes kecederaan? Saya akan memberi tunjuk ajar, ” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Dr. Keen Wai berharap kerajaan dapat membantu untuk menyalurkan ilmu mengenai bantuan kecemasan di tempat kemalangan supaya orang ramai tahu apa yang boleh dilakukan.

Selain mempunyai iltizam untuk menyelamatkan orang termasuk banyak menghabiskan masa di hospital, Dr. Keen Wai amat meminati pengangkutan darat.

Beliau kini mempunyai 10 jenis lesen termasuk untuk motosikal tiga roda, motosikal muatan berat, traktor serta lesen vokasional (GDL).

Menurutnya, beliau mempunyai lesen ambulans dengan harapan dapat menghantar pesakit pada masa kecemasan.

Katanya, lesen memandu lori hospital pula boleh digunakan apabila perlu menghantar kelengkapan rawatan ke kawasan bencana.

Dr. Keen Wai juga sering mengikuti latihan perubatan bencana dan berpeluang memandu ambulans semasa latihan.

“Pengalaman memandu ambulans kebanyakan berlaku semasa dalam latihan.

“Ini kerana dalam situasi sebenar, saya masih perlu memikul tanggungjawab untuk memberi rawatan kepada pesakit dalam ambulans,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here