KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan yang paling ideal adalah satu aliran persekolahan, kata pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad.
Bagaimanapun, ujar Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, dalam konteks di negara ini, semua pihak harus mengakui sekolah pelbagai aliran telah wujud lebih 200 tahun dahulu.
Malah, ujar beliau, di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga, keputusan telah dibuat bahawa sekolah pelbagai aliran dibenarkan wujud di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak khususnya ahli politik tidak seharusnya lagi mempolitikkan sekolah pelbagai aliran, sebaliknya bergerak ke hadapan dan membantu memperkasakan sistem pendidikan sedia ada di negara ini.
“Daripada sibuk mempertikaikan kewujudan sekolah pelbagai aliran yang telah pun diiktiraf oleh mahkamah dan undang undang negara, mengapa tidak anda sebagai ahli politik yang progresif berjuang habis-habisan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan kualitinya?
“Perjuangkan kualiti sekolah kebangsaan sehingga akhirnya sekolah kebangsaan menjadi rebutan dari ibu bapa pelbagai kaum.
“Bukankah sejarah menunjukkan apabila matrikulasi dan UiTM hebat, ibu bapa dari semua kaum mahu peluang diberikan untuk anak-anak mereka ke sana untuk belajar?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah beliau, sekiranya ahli politik benar-benar memperjuangkan isu pendidikan, mereka perlu memberi tumpuan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan supaya kemudahannya sama seperti di sekolah antarabangsa.
Selain itu, katanya, tumpuan juga perlu diberikan supaya guru-guru sekolah kebangsaan dilatih sehingga bertaraf global dan beban tugas guru dikurangkan.
“Usahakan supaya kurikulum kebangsaan dicontohi oleh negara lain, itu baru ahli politik yang hebat.
“Sejak tahun 1950 isu sekolah vernakular ‘dijaja’ oleh ahli politik, adakah pendidikan anak-anak kita semakin baik? Apakah anak-anak kita sedang belajar dengan selesa di dalam kelas?
“Adakah prestasi pendidikan anak-anak kita sekarang sehebat anak-anak Singapura, Vietnam atau Korea Selatan? Yang dahulu pada tahun 1960, mereka semua jauh ketinggalan di belakang negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, sebagai timbal balik kewujudan sekolah pelbagai aliran, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) mesti turut menzahirkan jati diri dan identiti kebangsaan.
Ujarnya, pendidikan bahasa kebangsaan mestilah diperkukuhkan di semua sekolah jenis kebangsaan, manakala standard silibus dan penguasaan bahasa kebangsaan perlu selaras di semua sekolah kebangsaan termasuk SJKC dan SJKT.
“KPM (Kementerian Pendidikan) mestilah bertegas untuk memastikan semua anak-anak di SJKC dan SJKT menguasai Bahasa Kebangsaan sebaiknya.
“Jika anak-anak di SJKC dan SJKT gagal kuasai Bahasa Kebangsaan, KPM mestilah bertanggungjawab dan mengakui kegagalan mereka,” katanya.
Polemik berkenaan isu sekolah pelbagai aliran terus dibangkitkan oleh pemimpin politik dengan terbaharu menerusi cadangan yang dilontarkan Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Zuhir Ghazali supaya sekolah vernakular dimansuhkan untuk memupuk perpaduan.
Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong yang menegaskan pendidikan adalah asas pembangunan negara dan tidak seharusnya dijadikan isu politik yang boleh memecahbelahkan rakyat. – MalaysiaGazette