KUALA LUMPUR – Sekumpulan masyarakat sivil terdiri daripada gerakan mahasiswa, organisasi dan orang perseorangan mendesak Suruhanjaya Bebas Tatakelola Polis (IPCC) dirombak supaya selari dengan cadangan asal dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang pernah dibentangkan di Parlimen.
Ia susulan dakwaan kes gangguan seksual, intimidasi dan salah guna kuasa melibatkan anggota polis yang dialami oleh seorang mahasiswa, Alyaah Hani Anuar pada awal Februari lalu.
Dalam satu memorandum bersama, kumpulan itu berkata, IPCC dalam bentuknya sekarang tidak mempunyai kuasa yang mencukupi untuk mengambil tindakan tegas terhadap salah laku polis.
Sehubungan itu kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan yang lebih kuat diperlukan bagi memastikan akauntabiliti sepenuhnya dalam pasukan polis.
Dalam masa sama, kumpulan terbabit menerusi memorandum itu menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempercepatkan pemasangan kamera badan (bodycam) kepada semua anggota polis dalam semua interaksi dengan orang awam khususnya semasa soal siasat, pengambilan keterangan, tangkapan dan penahanan.
“Ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan, mengurangkan ruang penyalahgunaan kuasa, serta melindungi kedua-dua pihak iaitu orang awam dan anggota polis itu sendiri.
“Kami percaya bahawa tindakan segera perlu diambil bagi memastikan keadilan bagi saudari Alyaah (Hani) serta semua mangsa yang terkesan akibat penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa.
“Pihak polis yang sepatutnya memegang tanggungjawab untuk menjaga rakyat namun rakyat sendiri tidak merasa aman di dalam balai polis itu sendiri,” demikian menurut memorandum tersebut yang dimuat naik di laman sosial Facebook Aliran hari ini.
Memorandum itu disokong oleh 47 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai latar belakang antaranya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih); Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram); Wanita Muda Parti Amanah Negara (Warda).
Memorandum yang turut ditandatangi seramai 79 orang perseorangan itu akan diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam pada itu, kumpulan terbabit dalam memorandum itu turut mendesak Saifuddin mengambil langkah serius bagi menangani isu terbabit dan memastikan pembaharuan yang diperlukan dilaksanakan dengan segera demi keadilan dan keselamatan semua rakyat.
Berdasarkan memorandum itu, Alyah Hani didakwa berdepan gangguan seksual oleh seorang pegawai polis lelaki ketika membuat laporan polis berhubung sebuah himpunan solidariti di balai polis Wangsa Maju, dekat sini.
Sehubungan itu, Alyah Hani membuat laporan polis mengenai kejadian terbabit pada petang hari yang sama selain laporan turut dibuat kepada IPCC dan Surhanjaya Hak Asasi Mansuai (Suhakam) bagi menuntut keadilan. – MalaysiaGazette