Para peserta GREAT bersama komuniti di Panti Asuhan Yayasan Al-Hikmah di Denpasar, Bali.

KUALA LUMPUR – Seramai 18 pelajar daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan telah melaksanakan program Growing With Safe, Clean And Green Together (GREAT) di Panti Asuhan Yayasan Al-Hikmah, Denpasar, Bali pada 26 Februari 2025.

Program ini merupakan sebahagian daripada projek Global Volunteer Mission (GVM) 3.0, yang memberi impak positif kepada kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Program yang dianjurkan oleh Kelab Prime Mover UiTM dengan kerjasama NGO Wanita Inspirasi (WIN) Batu Pahat, bagi memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan kebersihan, penjagaan dan keselamatan diri, serta kepentingan menjaga alam sekitar melalui amalan kitar semula.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah cara-cara memberus gigi dan mencuci tangan dengan betul, sentuhan selamat dan tidak selamat, dan aktiviti kitar semula bahan buangan yang boleh diguna semula.

Selain itu, motivasi dan bimbingan kepada remaja dan kanak-kanak turut diberikan agar mereka mempunyai kesedaran dan keazaman untuk mengubah hidup mereka.

Menurut Pengarah Projek, Nur Adilah Muhammad, program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran kepada kanak-kanak mengenai kebersihan diri, keselamatan diri serta penjagaan alam sekitar yang berterusan.

“Projek ini dapat menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang diunjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), seperti kesihatan dan kesejahteraan, pembasmian kemiskinan, air bersih dan sanitasi, serta kerjasama untuk mencapai matlamat,” katanya.

WIN Batu Pahat turut menyatakan hasrat untuk memperkasakan wanita dan kanak-kanak melalui pendidikan dan kesedaran, dengan matlamat untuk membentuk masyarakat yang lebih selamat dan berdaya saing.

Mereka komited untuk menyediakan platform bagi pengembangan kemahiran dan kesedaran agar setiap individu dapat mencapai potensi penuh mereka dalam kehidupan.

Penasihat program, Khairolizwan Harry berkata, program kesukarelawan ini adalah platform terbaik untuk mahasiswa UiTM menyumbang kepada masyarakat di peringkat antarabangsa.

Misi sukarelawan di peringkat global ini bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti di Panti Asuhan Yayasan Al-Hikmah, malah melahirkan mahasiswa yang peka terhadap isu-isu global yang membelenggu negara serantau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here