KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim berkata, partinya tidak harus mengambil remeh kenyataan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Mohamad Akmal Saleh.
Beliau berkata, walaupun Dr. Mohamad Akmal diibaratkan sebagai “nyamuk”, tetapi nyamuk yang kecil boleh menyebabkan demam denggi.
Chang Khim yang juga bekas Exco Selangor berkata, pemimpin kanan DAPĀ tidak bersuara walaupun timbul beberapa isu agama yang kurang menyenangkan kaum Cina kebelakangan ini.
Katanya, walaupun keadaan itu boleh difahami kerana DAP berdepan dilema dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi parti juga boleh memisahkan urusan parti dengan pentadbiran negara.
Menurutnya, dalam menghadapi isu-isu yang tidak menyenangkan kaum Cina, hanya seorang pemimpin kanan yang bersuara.
Pandangan Chang Khim itu yang diterbitkan Oriental Daily dalam satu video wawancara menunjukkan beliau memberi sokongan kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng untuk terus memainkan peranan kepimpinan, walaupun menolak pembentukan “keluarga Lim” dalam parti menjelang pemilihan.
Keadaan itu sedikit mengejutkan kerana Chang Khim sebelum ini dilihat sebagai pemimpin yang selalu tidak senada dengan Guan Eng.
Namun, Chang Khim seakan-akan masih menyindir Guan Eng yang dilaporkan sedang giat berkempen untuk pemilihan parti.
Kata Chang Khim, “orang lama” dalam parti tidak perlu asyik menyebut sumbangan dan pengorbanan mereka, sedangkan pemimpin berkenaan telah menerima ganjaran termasuk mendapat jawatan kerajaan.
“Ingat, sinaran yang sudah berlalu tidak boleh menerangi jalan depan parti,” katanya.
Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, lebih 70 orang akan bertanding 30 jawatan dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) dalam pemilihan DAP pada 16 Mac.
Semua menteri dan timbalan menteri sedia ada, kecuali Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, M. Kulasegaran, akan bertarung dalam pemilihan tersebut.
Timbalan Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong berkata, jumlah perwakilan mencecah 4,200 orang berbanding hanya ratusan orang pada awal 2000-an.
Katanya, satu pasukan membabitkan 300 orang telah ditugaskan untuk memastikan mesyuarat agung DAP dijalankan secara teratur dan proses pemilihan juga akan disemak oleh agensi audit luar.
Pemilihan DAP mencetus perhatian susulan ura-ura untuk menjatuhkan Guan Eng dan juga adiknya yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying. – MalaysiaGazette