KUALA LUMPUR – Penyanyi, Rezza Shah kini tampil dengan single Mungkin yang memperlihatkan kematangan vokalnya sebagai seorang penyanyi.
Bekas peserta One In A Million (OIAM) 2024 berharap agar pendengar akan menyukai lagu berkenaan dan menyokong kariernya selepas ini.
Mungkin adalah ciptaan Rudy Nastia, Ku Yen, Barr Hadif dan Kelana dengan lirik oleh Ku Yen, Jebat Asmara dan Rudy Nastia.
“Single Mungkin ini mahu menonjolkan kematangan vokal saya di mana melalui lagu ini, saya berharap dapat berkongsi kisah dan inspirasi dengan semua peminat serta pendengar, sambil terus mengasah dan meningkatkan bakatnya dalam industri muzik tanah air.
“Selain menyanyi, saya akui turut meminati bidang lakonan dan telah terlibat dalam beberapa buah drama.
“Berlakon juga merupakan salah satu minat saya dan dengan bakat yang ada ini, saya mahu menjadi seorang penghibur yang berilmu dan disegani dalam kedua-dua bidang ini,” katanya yang berusia 22 tahun.

Rezza memulakan karier muziknya pada usia muda dengan mengikuti pelbagai program pertandingan nyanyian.
Dia mula dikenali pada usia lapan tahun melalui program Bintang Kecil anjuran RTM dan sejak itu terus membuktikan bakatnya dalam industri hiburan.
Sehingga kini, Rezza telah mencapai pelbagai pencapaian termasuk menjadi peserta Bintang RTM 2024 dan baru-baru ini berjaya memasuki Top 8 dalam pertandingan Calpis Soda OIAM 2024 yang semakin mengukuhkan kredibilitinya dalam dunia muzik.
Biarpun dikecam netizen pada program itu, Rezza mahu menjadikan pengalaman itu sebagai pembakar semangat untuk dia terus melakukan yang terbaik untuk memperlihatkan bakatnya di arena muzik tanah air. – MalaysiaGazette