Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Enam negeri termiskin tidak sepatutnya hanya berharap menerima peruntukan tinggi daripada kerajaan persekutuan.

Sebaliknya, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis perlu berusaha dan mencari jalan penyelesaian bagi memastikan jurang dapat dikecilkan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli keenam-enam negeri itu menerima peruntukan jauh lebih tinggi sejak 2021.

“Saya berharap (usaha) untuk menutup jurang ini tidak diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata (kerana) ini tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh kerajaan negeri masing-masing.

“Supaya bila ada hubungan begini baru kita boleh tarik pelaburan dan perniagaan masuk. Kalau semata-mata dilihat untuk menutup jurang (kemiskinan), ini adalah permohonan untuk mendapatkan peruntukan besar dari Kerajaan Persekutuan telah berlaku sejak 2021 dan diteruskan hingga sekarang.

“Tetapi tiada tanda-tanda bahawa jurang itu akan dapat ditutup dengan baik,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan (Perikatan Nasional)di Dewan Rakyat.

Rafizi turut menyarankan setiap kerajaan negeri yang terlibat merangka ekonomi mesra perniagaan demi membantu menaikkan taraf hidup rakyat.

Sementara itu, Rafizi memaklumkan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) kini dibahagikan kepada dua kategori.

“Projek bernilai tinggi dengan kos melebihi RM300 juta, permohonan hanya boleh dikemukakan setiap dua tahun sekali bermula rancangan pembangunan antara 1 hingga 31 Mac 2025. Sekiranya tidak dikemukaan kali ini, peluang seterusnya adalah pada 2027.

“Bagi projek yang bernilai di bawah RM300 juta, itu boleh dikemukakan setiap tahun menerusi ‘rolling plan’ seperti biasa. Tujuan kita pisahkan begini kerana satu faktor yang menyumbang pada pelaksanaan projek yang cacamerba ialah kerana perancangan yang dibuat itu tidak berpadanan dengan saiz projek,” tambahnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin (Bebas) mengenai penambahbaikan proses pelaksanaan projek berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast