KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu serius dalam meneliti dan memahami setiap tanda, isyarat atau simptom yang muncul dalam pendidikan khususnya yang memberi petunjuk kepada kemerosotan yang sistemik serta berterusan.
Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, antara simptom itu adalah jumlah murid aliran sains tulen ketika ini merosot sehingga hanya tinggal 15 peratus serta lebih 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi mahu menyambung pelajaran.
Selain itu, katanya, simptom yang perlu diperhatikan juga apabila semakin ramai guru memilih bersara awal serta pusat tuisyen dan sekolah pensendirian kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Simptom lain, ujar beliau, apabila semakin ramai ibu bapa bumiputera memilih sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah antarabangsa untuk anak-anak mereka serta semakin ramai ibu bapa dan guru menyuarakan kekecewaan di media sosial tentang isu pendidikan.
“Setiap simptom mesti difahami, dikaji dan diambil tindakan penyelesaian di peringkat akarnya. Jika tidak, kualiti pendidikan akan terus merosot.
“Tidak boleh ambil mudah. Kena selesaikan dengan segera sebelum semakin parah.
“Bertangguh untuk bertindak selepas wujudnya simptom hanya akan lebih merosakkan masa depan pendidikan negara ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sudah banyak bukti empirikal dan berautoriti yang mengesahkan prestasi pendidikan negara ini tidak berada dalam keadaan yang baik.
Katanya, laporan rasmi dari luar negara seperti keputusan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022; Laporan World Bank; South-East Asia Primary Learning Metric (SEA-PLM) dan Bank Pembangunan Asia (ADB) telah mengesahkan kemerosotan prestasi sistem pendidikan negara ini sedang berlaku.
“Pada masa yang sama, laporan PISA misalnya, mengesahkan negara ASEAN lain seperti Kemboja, Brunei, Filipina sedang menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan.
“Singapura dan Vietnam memang sudah pun jauh di hadapan kita dalam pencapaian pendidikan. Kita terkebelakang!” katanya.
Tambahnya, bukti dalam negara pula dapat dililhat menerusi keputusan SPM saban tahun yang menunjukkan angka-angka yang tidak begitu menggembirakan.
Ujarnya, walaupun setiap tahun dilaporkan prestasi SPM meningkat, namun data rasmi analisis SPM oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia juga mengesahkan prestasi calon yang mendapat gred yang rendah (C,D,E dan G) juga sedang meningkat.
“Maksudnya, jurang pencapaian pendidikan antara kumpulan yang cemerlang dengan kumpulan yang lemah semakin melebar setiap tahun.
“Sebagai analogi mudah, tak guna kita ‘bertempik’ gembira kalau kita ada 10 peratus calon yang mendapat semua A dalam SPM tetapi kita juga ada 70 peratus calon yang mendapat gred C, D, E dan G (gagal).
“Jurang pencapaian antara satu sama lain terlalu besar. Itu bukan kualiti pendidikan yang kita harapkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















