KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) mahu kerajaan menyemak semula dasar pemberian geran kepada agensi-agensi persekutuan kerana banyak anak syarikat tersebut mengalami kerugian tanpa pulangan.
Geasaan itu dibuat oleh presidennya, Dr Muhammad Mohan berdasarkan laporan Ketua Audit Negara untuk tahun kewangan 2023 baru-baru ini yang menunjukkan agensi-agensi persekutuan tidak mematuhi piawaian perakaunan semasa membuat laporan kewangan.
Malah, penemuan juga mendedahkan kawalan dalaman adalah lemah dan piawai prosedur operasi sudah lama tidak dikemaskini untuk tadbir urus kewangan yang berkesan.
Laporan tersebut juga menunujukkan agensi-agensi persekutuan telalu bergantung kepada geran kerajaan untuk tempoh masa yang lama.
“Kita mesti beringat dana ini adalah sumber daripada wang pembayar cukai. Laporan Ketua Audit Negara yang terdahulu menunjukkan kerajaan telah memberikan sejumlah RM33.6 bilion dalam bentuk geran.
Sehingga kini, rakyat sentiasa melontarkan soalan mengenai apakah tindakan yang diambil berdasarkan laporan dan cadangan Ketua Audit Negara.
Oleh itu, TI-Malaysia mendesak Kerajaan Madani untuk melaksanakan langkah-langkah proaktif yang lebih berkesan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi menangani penemuan yang membimbangkan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, katanya, satu isu yang membimbangkan melibatkan SWCorp di bawah Kementierian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mana terdapat perbezaan dalam baki Akaun Belum Terima yang direkodkan antara SWCorp dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.
Perbezaan seperti ini mencerminkan tadbir urus kewangan yang buruk dalam badan-badan dan organisasi yang berkenaan.
“Persoalannya, di manakah tindakan akauntabiliti terhadap isu-isu ini? Kerajaan mesti tegas untuk mengambil tindakan terhadap kepimpinan yang berkaitan atas perbezaan ini kerana hal ini melibatkan penggunaan wang awam,” ujarnya.
Sehubungan itu, agensi persekutuan, anak syarikat GLIC atau GLC hendaklah menggunakan Sistem e-SelfAudit yang diperkenalkan oleh Jabatan Ketua Audit Negara untuk mengambil tindakan proaktif dan membaiki sebarang kekurangan dengan segera.
Lagipun, Ketua Audit Negara telah memberi jaminan apa sahaja maklumat yang dimuatnaik ke dalam sistem akan dilindungi di bawah Akta Audit 1957, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Keselamatan Siber 2024. – MalaaysiaGazette
















