Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menaik taraf Makmal Kemahiran Jabatan Kejururawatan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih moden dan efektif kepada pelajarnya dalam usaha memperkukuhkan sistem pendidikan kejururawatan.

UKM dalam kenyataan berkata, penambahbaikan itu adalah hasil kerjasama erat antara universiti berkenaan dengan MR D.I.Y. Group (M) Sdn Bhd yang telah menyumbang dana sebanyak RM120,000 menerusi Yayasan DIY.

Dekan Fakulti Perubatan Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki berkata sumbangan itu akan memberi impak besar terhadap kualiti pendidikan kejururawatan, sekaligus melahirkan tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi cabaran dalam bidang kesihatan.

“Kejayaan pendidikan tinggi memerlukan kolaborasi strategik antara institusi akademik dan industri. Jadi, UKM sentiasa berusaha menyediakan kemudahan terbaik bagi memastikan pelajar mendapat latihan berkualiti tinggi,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Makmal Kemahiran Jabatan Kejururawatan, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata dengan adanya fasiliti yang lebih moden, pelajar akan mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan realistik, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme mereka sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki (dua dari kanan), Ketua Jabatan Kejururawatan Fakulti Perubatan (kanan), Dr Jalina Karim bersama Ahli Lembaga Amanah Yayasan D.I.Y, Dato’ Sri Loo Chong Peng (dua dari kiri) dan Pengerusi, MR. D.I.Y Group (M) Berhad, Dato’ Azlam Shah Alias di Majlis Perasmian Makmal Kemahiran Jabatan Kejururawatan, Fakulti Perubatan UKM, baru-baru ini.

“Usaha ini selari dengan misi UKM untuk melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dan kompeten dalam bidang kejururawatan,” ujarnya.

Naik taraf makmal tersebut termasuk penyediaan peralatan latihan yang lebih canggih serta ruang pembelajaran yang lebih kondusif bagi pelajar menjalani latihan simulasi.

Prof. Datin Dr. Marina berkata pihak fakulti berharap agar kejayaan itu dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi pada masa hadapan, memastikan pendidikan perubatan dan kejururawatan terus berkembang dengan kemudahan yang lebih maju dan berkualiti.

Sementara itu, Ahli Lembaga Amanah Yayasan D.I.Y, Dato’ Sri Loo Chong Peng berkata inisiatif itu telah diusulkan oleh Dato’ Azlam Shah Alias, Pengerusi MR D.I.Y. Group (M) Berhad melalui Yayasan DIY yang komited untuk menyokong sektor pendidikan.

“Kami percaya bahawa pelaburan dalam infrastruktur akademik akan memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

“Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa mengutamakan kepentingan komuniti, kami percaya bahawa pendidikan berkualiti adalah kunci kepada kemajuan negara. “Kerjasama ini adalah bukti bahawa sektor korporat boleh memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here