KUALA LUMPUR- Kerajaan Malaysia sedang mengambil tindakan yang diperlukan untuk menentukan sama ada undang-undang negara telah dilanggar dalam penghantaran cip AI yang disekat oleh Amerika Syarikat dari Singapura ke Malaysia.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan malam ini berkata, kementerian juga akan terus bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan Singapura bagi mencari kaedah berkesan untuk menangani isu perdagangan melibatkan cip yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat,
“MITI ingin menegaskan bahawa Malaysia tegas menentang mana-mana individu atau syarikat yang cuba mengelak kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti perdagangan haram.
“MITI kekal komited untuk memudahkan perdagangan yang sah serta mewujudkan destinasi pelaburan yang selamat dan bertanggungjawab, memastikan semua pelaburan berkaitan teknologi selaras dengan amalan terbaik antarabangsa serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang dipersetujui secara multilateral,” katanya.
MITI mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap laporan sebuah portal berita Singapura yang mendakwa, pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di republik itu mungkin mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia, yang kemudiannya dihantar dari Singapura ke Malaysia.
Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam mempersoalkan sama ada Malaysia merupakan destinasi akhir atau menjadi transit untuk dihantar ke tempat lain.
Menurut laporan berita Singapura, cip tersebut tertanam dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat berpangkalan di Singapura sebelum dihantar ke Malaysia.
Dalam pada itu MITI menegaskan, walaupun Malaysia mengekalkan pendirian berkecuali terhadap sekatan unilateral, syarikat yang beroperasi di negara ini dinasihatkan supaya mengambil maklum mengenai kawalan eksport unilateral oleh negara lain yang terpakai ke atas aktiviti perniagaan antarabangsa mereka bagi mengelakkan sekatan ke atas barangan atau perkhidmatan mereka.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
MITI siasat dakwaan cip Nvidia dipindahkan dari Singapura ke Malaysia