Penyampai radio ERA FM mohon maaf.

KUALA LUMPUR – Tiga penyampai radio ERA FM memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak susulan penyiaran kandungan video menyinggung sensitiviti masyarakat, khususnya penganut Hindu.

Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan berjanji kesilapan itu tidak akan diulangi pada masa depan.

Ketiga-tiga penyampai segmen 3 Pagi Era itu membuat permohonan maaf dalam video yang dikongsi di akaun media sosial era.je.

“Kami memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami yang dimuat naik di laman media sosial ERA baru-baru ini berhubung aksi yang kurang menyenangkan dan telah menyinggung hati segelintir pihak dan sahabat-sahabat kami yang berbangsa India.

“Kami akui kesilapan serta kekhilafan kami dan kami juga akan pastikan perkara yang sama tidk akan berulang lagi pada masa akan datang. Kami juga sentiasa terbuka untuk terima segala komen dan kritikan untuk memperbaiki diri kami.

“Sekali lagi, kami menyusun jari memohon maaf di atas kesilapan tanpa sedar yang kami lakukan. Maafkan kami dari 3 Pagi Era,” katanya.

Sementara itu, pengurusan tertinggi ERA FM turut menampilkan permohonan maaf dengan kandungan yang telah menyentuh sensitiviti ramai pihak khususnya penganut Hindu.

Menurutnya, stesyen radio itu tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak dan amat menghormati kepercayaan serta nilai setiap individu.

“Kami akan lebih berhati-hati di masa hadapan. Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima segala komen dan kritikan untuk memperbaiki diri kami terutama daripada pendengar setia ERA.

“Sekali lagi, kami menyusun jari memohon maaf di atas kesilapan tanpa sedar yang kami lakukan. Maafkan kami,” katanya.

Sebelum ini pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengecam tindakan tidak bertanggungjawab kakitangan ERA FM yang didakwa memperlekehkan agama Hindu menerusi satu video baru-baru ini.

Video berkenaan memaparkan individu yang meniru tarian kavadi sambil melaungkan ‘Vel Vel’ secara tidak sopan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here