Tiga penyampai segmen 3 Pagi Era

KUALA LUMPUR – Penyampai ERA FM, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin digantung tugas susulan insiden kandungan video yang menyentuh sensitiviti penganut Hindu.

Astro Audio dalam kenyataan berkata, penyampai segmen 3 Pagi Era itu digantung daripada ke udara sehingga diberitahu kelak sementara siasatan dalaman dijalankan terhadap dakwaan tersebut.

“Para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

“Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” katanya.

Jelasnya, Astro Audio melahirkan kekesalan atas satu insiden rakaman video melibatkan penyampai terbabit dan dikongsi di platform media sosial ERA.

Dalam kenyataan, Astro Audio memohon maaf kerana tindakan tiga penyampai terbabit telah menyakiti hati dan mengecewakan hati pihak terlibat.

“Astro Audio komited terhadap kepercayaan para pendengar kami serta memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh. Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.

“Kami amat menghargai maklum balas dari para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar, dan memperbaiki diri,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum itu mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menjalankan siasatan terperinci mengenai aduan kakitangan stesen radio milik Astro mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.

Fahmi berkata antara lain MCMC perlu memanggil Astro dan pengurusan stesen radio Era FM hadir ke ibu pejabat MCMC bagi memberikan penjelasan penuh.

Penyampai radio 3 Pagi Era memohon maaf di atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana ia penghinaan kepada tradisi Hindu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here