Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran RM1.7 bilion kepada kira-kira 530,000 pesara yang sepatutnya dibuat sebelum 16 April ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh membenarkan penangguhan bayaran pada April depan sementara menunggu rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan ketika ini.

Kata Amarjeet, mahkamah mendapati adanya keperluan dan keadaan luar biasa bagi memberikan laluan kepada penangguhan ini.

Ketika prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Peguam Persekutuan M Kogilambigai berhujah bahawa mahkamah boleh membenarkan penangguhan ini memandangkan akan wujud ‘keadaan sukar’ untuk pihak kerajaan andai rayuan ini berjaya.

Kata mereka, setiap pesara kemungkinan menerima RM5,000 sebagai bayaran tunggakan pada tarikh tersebut dan andai kerajaan menang rayuan itu, maka pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya memotong pencen pesara ini untuk mendapatkan jumlah tersebut kelak.

Hujah peguam mewakili kerajaan, kesemua pesara yang terlibat dalam perkara ini juga mempunyai skim pencen yang berbeza.

“Ini juga memerlukan JPA untuk meneliti semuanya kerana pengiraan ini agak rumit. Kerajaan juga pada tahun sudah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam yang juga akan libatkan kiraan pencen ini,” hujah mereka.

Kata mereka lagi, kerajaan tidak akan mengelak daripada bertanggungjawab membayar pencen namun penelitian dan pengiraan yang memerlukan masa juga perlu diambil kira.

Mahkamah arah kerajaan bayar pelarasan pencen pesara kerajaan

Dalam pada itu, peguam mewakili kumpulan pesara ini, Datuk Baljit Singh Sidhu dan Datuk Shukor Ahmad membantah penangguhan ini dengan mengingatkan kerajaan sebelum ini sudah menyatakan kesanggupan untuk membayar jumlah tersebut.

Mereka juga menegaskan Tabung Persaraan (KWAP) mempunyai dana yang besar dan mencukupi untuk membayar pencen tersebut.

Sebelum ini, Amarjeet yang membenarkan permohonan semakan kehakiman itu turut mengarahkan kerajaan dan JPA membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula tarikh penghakiman berkenaan iaitu 16 Januari lepas.

Aminah Ahmad yang bersarasebagai penjawat awam di Kementerian Luar, memohon perintah mandamus bagi memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula yang terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Beliau yang memfailkan permohonan itu atas kapasiti sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam turut memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayar melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan. -MalaysiaGazette

Kerajaan mohon gantung keputusan pelarasan pencen pesara, kiraan ambil masa

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here