Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Nelayan Zon Pantai Barat di Dewan Dato’ Lope Hashim, Bagan Datuk.

BAGAN DATUK – Kerajaan diminta untuk tidak menarik sebarang subsidi petrol dan diesel yang dinikmati nelayan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana nelayan merupakan golongan penting yang memberi sumbangan kepada sumber protein negara.

“Saya minta menteri dan ketua setiausaha untuk akur dengan permintaan para nelayan agar jangan tarik subsidi, sebaliknya buat dengan cara penyasaran subsidi.

“Umum mengetahui kerajaan menghadapi masalah dari segi subsidi, tetapi ia tidak hanya terhad kepada petrol dan diesel. Lebih daripada RM82 bilion dibelanjakan termasuk untuk nelayan.

“Namun, nasib nelayan harus dibela dan oleh itu, penyasaran subsidi perlu dilakukan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Nelayan Zon Pantai Barat di Dewan Dato’ Lope Hashim, dekat sini, pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, beliau juga akan meminta Mohamad untuk mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawat di Indonesia berhubung perkara-perkara berbangkit membabitkan penguatkuasaan terhadap nelayan tempatan.

“Sebelum ini ada insiden di mana tujuh nelayan kita ditahan di Indonesia dan kita telah pergi ke negara itu untuk mengadakan rundingan berkenaan hal itu.

“Saya yakin kali ini Mohamad lebih berpengalaman dalam soal ini, dan saya bersedia membantu,” katanya lagi.

Ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media Ahmad Zahid berkata, pihaknya bersedia untuk menambah baik nilai Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang ketika ini bernilai RM300.

“Kita akan mencari jalan untuk menambah ESHN mengikut jumlah hasil tangkapan laut oleh nelayan. Dan ini juga salah satu langkah untuk kita menggalakkan lebih banyak hasil laut dapat ditangkap,” katanya lagi.

Lebih 500 nelayan dari Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan hadir pada Sesi Libat Urus (SLU) yang kelima diadakan oleh KPKM.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bayaran ESHN melibatkan 7,503 nelayan di Zon Pantai Barat dengan nilai bantuan sebanyak RM27 juta.

Ahmad Zahid turut menyerahkan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point), Bantuan Rumah Nelayan Laut B40 dan disampaikan cek cura bernilai RM400,000 bagi tujuan menaik taraf jeti pendaratan kerang di perairan Sungai Belukang di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here