MELAKA – Polis Melaka masih membuka permohonan bagi mendapatkan lesen dan permit sah untuk menyimpan dan menjual mercun serta bunga api sempena Ramadan dan Aidilfitri ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, peniaga dinasihatkan mendapatkan lesen dan permit daripada pihak berkuasa sebelum tarikh penjualan ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.
“Permohonan masih dibuka dan sebarang jumlah permit yang diluluskan adalah tertakluk kepada kelulusan Ketua Polis Daerah.
“Perjualan bunga api dan mercun berlesen dibenarkan bermula 20 hari sebelum hari raya dan 10 hari selepas raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lokasi penjualan yang dibenarkan adalah seperti di bazar Ramadan manakala penjualan di luar kawasan bangunan pasar raya atau pusat membeli-belah dan perniagaan runcit perlu mendapat kelulusan dari pihak terbabit.
Ditanya mengenai statistik rampasan mercun dan bunga api secara haram, Dzulkhairi berkata, sepanjang tahun lalu tiga rampasan dibuat berbanding dua pada 2023.
“Tahun lalu, seramai lima lelaki berusia antara 35 dan 52 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan penjualan mercun membabitkan nilai rampasan berjumlah RM120,000.
“Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi sekitar Jalan Bendahara, Taman Muhibbah, Merlimau, Taman Bukit Rambai Utama dan Tanjung Minyak kerana menjual mercun dengan cara membuka gerai di tepi jalan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – MalaysiaGazette