KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Ziana Zain dipilih menjadi rakan jenama Rizman Ruzaini sempena Fashion Royalties menerusi tiga koleksi Raya menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Pengasas Bersama Rizman Ruzaini, Rizman Nordin berkata, Ziana, 56, menjadi pilihan kerana selebriti itu mempunyai portfolio yang panjang bersama jenama berkenaan.
“Ziana antara yang setia menyarungkan rekaan kami sepanjang 20 tahun perjalanan Rizman Ruzaini. Keserasiannya dengan signatur rekaan Rizman Ruzaini dan citarasa yang seiring menjadikan beliau rakan jenama Rizman Ruzaini yang wajar untuk kami kongsikan koleksi istimewa ini bersamanya.
“Malah Ziana juga mengakui menggemari helaian raya tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fashion Royalties menampilkan tiga koleksi Raya yang berbeza dari tahun sebelumnya di mana ia lebih eksklusif dan menyimpan nilai sentimental yang tinggi bagi menyambut ulangtahun ke-20 tahun ini.
Menggamit semula koleksi ikonik terdahulu, ia disegarkan kembali menerusi Rizman Ruzaini Raya 2025 Couture Collection, Rizman Ruzaini Raya 2025 Anniversary Capsule Collection dan pengenalan kembali Rizman Ruzaini Red.
Rizman Ruzaini Couture membawakan koleksi Mustika ini sebagai antara seleksi Raya 2025 yang memberi penghormatan kepada warisan budaya Malaysia iaitu gabungan unsur tradisional dengan inovasi kontemporari.
“Rizman Ruzaini Red Collection pula menampilkan lapan pilihan mewah di bawah label Rizman Ruzaini Red 2025 Raya ini pasti menjadi pilihan hangat untuk Syawal 2025 dalam siri sedia pakai.
“Walaupun dalam lingkungan label mewah, ia masih dalam ‘harga mesra’, sebagai tanda penghargaan buat Fashion Royalties yang mahukan sarungan glamor namun mampu dimiiki,” katanya. – MalaysiaGazette
